eRacing
SUKMA: Mika Hakimi menang emas kedua untuk Wilayah Persekutuan
Pemain esukan tempatan, Mika Hakimi, mencatat sejarah tersendiri apabila sekali lagi meraih pingat emas dalam acara eRacing di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Mewakili Wilayah Persekutuan, Mika Hakimi kali ini memenangi kategori Single Race yang berlangsung pada petang tadi.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan sumbangan pingat emas kedua Mika untuk Wilayah Persekutuan dalam kejohanan sukan negara dwitahunan tersebut.
Sebelum ini, Mika juga telah meraih pingat emas bagi acara esukan yang sama namun dalam kategori yang lain iaitu Time Attack.
Acara eRacing telah bermula sejak semalam dan setakat ini, Wilayah Persekutuan telah memenangi dua emas. Dua lagi kategori akan dipertandingkan dalam acara eRacing esok iaitu Team of Two dan Endurance.
