Connect with us

PUBG Mobile

“Semoga ini piala SEA pertama bagi kami”- Coach Bigetron RA

Published

on

JURULATIH pasukan PUBG Mobile Indonesia, Steven Valerian Danilo (S1nyo) memasang 1001 harapan agar pasukannya Bigetron Red Aliens mampu menjulang piala PMPL SEA Finals buat pertama kalinya untuk melengkapkan rekod pencapaian pasukan jaguh dunia tersebut.

Dalam suatu rancangan bual bicara Bigetalk bersama hos Mimin Helmet, S1nyo berkongsi harapannya untuk membantu pasukan Bigetron RA memenangi kejohanan Asia Tenggara sekaligus melengkapkan gelaran juara Asia Tenggara yang masih belum dikecapi oleh pasukan berpengalaman itu.

“Yang jelas semoga kami dapat menjuarai PMPL SEA Finals kerana mereka (Bigetron RA) masih belum pernah bergelar juara Asia Tenggara.

“Sesudah PMPL SEA Finals, kami juga berharap agar kami boleh menjadi juara dalam kejohanan PMGC nanti,” jelas S1nyo.

S1nyo yang sebelum ini merupakan bekas pemain profesional PUBG PC untuk Aerowolf juga berkongsi tentang peranannya sebagai jurulatih pasukan Bigetron RA dan persiapan menjelang kejohanan Asia Tenggara tersebut.

Pasukan veteran yang dibarisi terminator dunia Made Bagas Pramudita (Zuxxy), penembak jitu Made Bagus Prabaswara (Luxxy), rusher Muhammad Albi (Ryzen) dan pemain support Nizar Lugatio (Microboy) sebelum ini pernah merangkul gelaran juara dunia sebanyak dua kali iaitu di peringkat Liga Dunia PUBG Mobile Timur (PMWL) 2020 dan PUBG Mobile Club Open (PMCO) Global 2019.

Namun demikian, pasukan juara dunia dari Indonesia itu masih belum berjaya mengangkat gelaran terbaik Asia Tenggara selepas tewas dalam tiga edisi yang lepas.

S1nyo yang merupakan jurulatih baharu Bigetron RA turut mengharapkan pasukannya mampu mengekalkan prestasi konsisten sekaligus mempertahankan gelaran juara dunia di kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC) yang dijangka akan berlangsung November nanti.

” Mereka (Bigetron RA) sememangnya sebuah pasukan yang berkualiti dari segi keserasian dan juga skil individu, saya cuma membantu mereka dari segi penilaian permainan dan analisis.

” Serkarang kami cuma membetulkan jalur rotasi dan mengemaskan sebarang penukaran posisi (rotasi) buat persiapan untuk SEA nanti,” jelas S1nyo.

Walaupun telah layak ke PMGC, pasukan Bigetron RA sememangnya ingin mendominasi gelaran juara Asia Tenggara selepas menamatkan saingan di tempat kedua pada musim lalu.

Dalam dua edisi sebelumnya pula, Bigetron RA hanya mampu berpuas hati di tempat keenam bagi kejohanan PMCO SEA Fall Split dan kedua bagi PMCO SEA Spring Split Finals.

Jangan lupa saksikan Bigetron RA menentang pasukan-pasukan terhebat Asia Tenggara pada 23 Oktober nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved