Connect with us

Mobile Legends

Selepas menang MPL, Geek Fam fokus latihan untuk MSC

Published

on

Pada Ahad lalu, Geek Fam muncul juara musim ketiga MPL selepas menewaskan pasukan Singapura EVOS SG 3-1 pada final. - Foto WTM / Mariah Ahmad

KUALA LUMPUR – Meski baru digelar juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura baru-baru ini, pasukan tempatan yang sedang meningkat naik Geek Fam telah memulakan sesi latihan mereka sebagai persiapan mewakili negara ini untuk Piala Asia Tenggara (MSC).

Dalam satu kenyataan baru-baru ini Geek Fam berkata barisan pemain dalam pasukannya berjaya mencapai kejayaan yang diinginkan walaupun berdepan pelbagai kesulitan pada awal musim liga itu.

“Selepas bekerja keras berlawan dengan pasukan-pasukan tempatan dan pasukan gergasi Singapura yang dilhat mempunyai lebih banyak peluang untuk menang MPL, akhirnya Geek Fam berjaya juga ke tahap ini.

“Baru-baru ini pihak pembangun Mobile Legends, Moonton mengumumkan mengenai Piala Dunia Mobile Legends dan kami berhasrat untuk meletakkan nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi dalam arena ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MSC merupakan kejohanan paling berprestij dalam arena Mobile Legends yang menyaksikan beberapa pasukan Asia Tenggara bersaing untuk merebut takhta yang terbaik di rantau ini.

Pada Julai tahun lalu, kejohanan MSC disertai pasukan-pasukan terbaik Asia Tenggara dan menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM400,000.

Dalam edisi kedua MSC yang berlangsung di Ekspo Antarabangsa Jakarta, Indonesia itu juga menyaksikan pasukan Filipina, Aether Main muncul sebagai juara.

Pada Ahad lalu, Geek Fam muncul juara musim ketiga MPL selepas menewaskan pasukan Singapura EVOS SG 3-1 pada final. 

Menerusi kemenangan itu, Geek Fam membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM103,000.

Pemain Geek Fam Nik Aqieff (Dominus) juga muncul sebagai pemain terbaik pada grand final tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved