Connect with us

Mobile Legends

“Maaf, dah hampir seminggu Ummi asyik update pasal MPL”

Published

on

Foto Rozie Abdullah

PUTARAN masa ketika itu dilihat sedikit lambat berbanding 30 minit sebelum itu yang penuh dengan teriakan sorakan manusia yang memenuhi perkarangan LG2 Blue Atrium Sunway Pyramid.

Keadaan di situ pun menjadi sikit reda selepas pada mulanya digegarkan jeritan peminat, lompatan menyambut kemenangan dan pelukan erat seperti tiada satu tanda mahu dipisahkan.

Ia kemudiannya menjadi satu situasi yang penuh kesyukuran dengan beberapa titisan air mata jantan gugur perlahan-lahan.

Renungan penulis kemudiannya tertoleh kepada seorang wanita berkaca mata bertudung biru gelap, berdiri setia menunggu seseorang.

Penulis yakin, wanita ini pasti mempunyai kaitan dengan salah seorang sang jura Geek Fam yang baru dinobat kemenangannya tadi.

Berbekalkan kata-kata puitis sasterawan Usman Awang, “Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa,” penulis memberanikan diri mendekati wanita itu. 

“Assalamualaikum. Puan ibu kepada Dominus?”

“Waalaikumsalam. Ya saya.”

“Puan, saya Mariah.”

“Ya, selalu (tersipu-sipu).”

“Ya?”

“Selalu follow Mariah.”

“Wow! Terima kasih puan!”

Nama Rozie Abdullah sebenarnya seringkali terlihat di ruangan likes dan komen di Facebook penulis. 

Rasa kesyukuran itu tidak terkira apabila akhirnya dapat bersua muka untuk memahami perpesktifnya dengan lebih mendalam terutama sebagai ibu bapa.

Apakah perasaannya apabila mendapat tahu anaknya mula bermain permainan video?

Apa pula perasaannya apabila melihat anaknya sendiri bersaing di hadapan khalayak ramai, menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam Liga Profesional, kejohanan yang dilihat paling prestij dalam e-sukan Mobile Legends di negara ini?

Kesemua persoalan itu disimpan rapi dulu sebelum diterjemahkan dalam bentuk lisan.

Memang adalah satu kebiasaan bagi siapa-siapa yang belum pernah ditemu bual oleh wartawan itu tidak dapat disorok rasa gemuruhnya. Begitu juga dengan Rozie.

Tapi dalam masa yang sama, Rozie juga tidak pernah penat memberi senyuman manisnya sambil sekali sekala mengerling ke arah Nik Aqieff Nik Muhd Muhyyiddin atau senang dikenali sebagai Dominus dalam arena Mobile Legends.

Dominus pada ketika itu sedang melakukan temu bual bersama media lain.

Geek Fam ditemu bual media selepas tamat perlawanan final MPL – Foto Rozie Abdullah

“Sejak tingkatan tiga lagi saya lihat dia main game. Dia pun sudah mula berdikari seawal usia itu dengan mencari duit poketnya sendiri.

“Masa tingkatan lima pula dia sudah jadi wakil sekolah untuk bermain game.

“Lepas itu nampaklah dia terus sertai Mobile Legends,” jelas Rozie yang menceritakan detik-detik apabila dia cuba memahami penglibatan Dominus dalam arena ini.

Dalam perbualan kami, Rozie seperti tidak bosan mengulai perkatan ‘maju’ dan ‘maju’.

Maju jika didefinisikan bermaksud mara atau melangkah ke hadapan.

“Saya nampak kesungguhan Dominus dan saya berharap dia terus maju,” kata Rozie.

Penulis perhatikan, jelas terpancar menerusi personaliti Rozie bahawa kemenangan bermakna Dominus itu juga merupakan satu kebanggaan buat dirinya juga.

Dia juga tahu, Dominus baru-baru ini berjaya mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pusingan kelayakan pemilihan wakil negara ke Temasya Sukan SEA di Filipina nanti.

“Haha, maaf saya nervous (gemuruh),” kata Rozie.

Sebelum mengakhiri perbualan kami, Rozie sekali menekankan perkataan maju dan medoakan agar Dominus terus berjaya.

“Ummi doakan Dominus akan terus maju, dan berjaya di masa akan datang,” jelas Rozie.

Rozie bersama anaknya Nik Aqieff Nik Muhd Muhyyiddin yang merupakan seorang pemain Geek Fam – Foto Rozie Abdullah

Ia berbunyai seperti satu kata-kata mudah, tapi kita semua tahu bagaimana kata-kata seorang ibu itu sebenarnya penuh dengan hikmah.

Grand Final MPL bermula pada Sabtu lalu. Sehari sebelum itu Rozie baharu sahaja pulang dari China.

“Saya baru sampai dari China pada Jumaat yang lalu. Esoknya hadir ke MPL untuk beri sokongan kepada Dominus. Saya tinggal di hotel malam itu juga kerana tak larat nak balik.”

Selang beberapa hari selepas tamat MPL, penulis perhatikan Rozie memuat naik satu status di Facebooknya yang berbunyi:

“Maaf. Sudah hampir seminggu Ummi asyik update pasal MPL, Geek Fam, Mobile Legends, Dominus dan cerita yang seangkatan dengannya.

“Kalau tidak suka dan bosan boleh scroll laju-laju. Kalau suka, boleh bagi like bebanyak. Ummi xde hal. Facebook Ummi, cerita Ummi.

“Sekadar berkongsi kegembiraan dan keceriaan yang kami miliki,” kata Rozie.

Pertamanya, Rozie tidak perlu meminta maaf dengan kegembiraannya.

Kedua, Rozie perlu tahu betapa nikmatnya seseorang pemain kompetitif itu mendapat berkat dan sokongan daripada ibu bapa.

Tidak salah jika masih ada dalam kalangan ibu bapa yang melihat permainan video sebagai satu hobi dan bukan sebagai satu industri.

Tapi bayangkan satu semangat yang lain macam tersemat dalam diri apabila akhirnya mendapat restu dan sokongan daripada ibu bapa sendiri, yang percaya apa yang dilakukan ini bukan lagi sekadar syok sendiri?

Rozie bersama keluarganya memberi sokongan kepada Dominus pada final MPL. –
Foto Rozie Abdullah

Setiap perbuatannya yang dilakukan ibu untuk memberi sokongan kepada anaknya itu sebenarnya sangat bermakna, memberi harapan bahawa apa yang dilakukan bukanlah satu perkara sia-sia jika membawa hasil.

Lihat sahaja Dominus. Bukan sahaja berjaya menewaskan pasukan gergasi Singapura EVOS SG, malah terpilih sebagai pemain Terbaik MPL.

Prestasinya sebagai pemain dalam MPL juga dilihat sangat konsisten sehingga kini.

Sebenarnya, jika ada yang melihat setiap sokongan ibu bapa walapun sekadar likes, walapun sekadar share, sebenarnya ia memberi makna mendalam kepada pemain. Ia bukan satu perkara kecil.

Ia memberi satu harapan dan kepercayaan yang biasa mengharungi segala cabaran seperti tiada batasan untuk bermimpi mencapai impian dalam arena e-sukan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved