Mobile Legends
Selepas dakwaan Team Lunatix kini pemain Myanmar, Kid, buka mulut

SELEPAS dakwaan Team Lunatix terhadap tiga pemain import dari Myanmar yang pulang ke negara itu secara senyap-senyap sehingga menyebabkan kerugian hampir RM10,000, akhirnya salah seorang daripada mereka membuka mulut untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci.
BACA: 3 Pemain ‘log out’ sebelum MPL, Lunatix rugi hampir RM10,000
Hein Thu (Kid) dalam satu kenyataan berkata sebenarnya ada banyak situasi yang tidak diingini berlaku terhadap dia, Kyaw Bo (Zippy), dan DJ dengan Team Lunatix ketika berada di Malaysia.
Sebelum mengulas lanjut mengenai situasi-situasi tersebut, Kid menjelaskan kes pihaknya dan Team Lunatix tidak ada kaitan langsung dengan makanan di Malaysia, gaya hidup di Malaysia dan budaya di Malaysia.
Bahkan katanya, dia sangat selesa dengan makanan di Malaysia.
“Perbezaan budaya adalah satu persiapan asas yang saya lakukan sebelum sertai pasukan ini.
“Sebab utama saya menyertai Team Lunatix adalah kerana minat saya dengan permainan ini (MLBB),” kata Kid.
Berikut adalah antara intipati kenyataan Kid mengenai dakwaan Team Lunatix dan situasi ketika berada di gaming house (anda boleh baca kenyataan penuh di Facebook Kid):
1. Sebab makan di luar, tapi bukan di gaming house Team Lunatix
Menurut Kid, Team Lunatix berjanji untuk membelikan nasi ayam namun apabila mereka tiba di gaming house mereka hanya diberikan barangan runcit dan barangan itu dimasak oleh pengurus pasukan.
“Kami tak makan di gaming house bukan sebab tak suka makanan Malaysia, tapi sebab mereka menggunakan minyak yang sama dan lama berulang kali.
“Sebab itu kami makan di luar setiap hari,” kata Kid.
2. Gaji pendahuluan dan Bayaran Tiket Penerbangan
Kid mendakwa yang DJ menerima RM4,000 sebagai gaji pendahuluan pada 18 Jun, dia pula RM5,000 pada 20 Jun. Sementara itu, Zippy hanya menerima separuh iaitu RM2,000 pada 12 Julai kerana pemilik pasukan terlibat dalam kemalangan dan dijangkiti Covid.
“Selepas menandatangani kontrak, kami terus memohon bayaran e-visa dan tiket penerbangan namun mereka mengendahkan kami dan asyik menangguhkan bayaran.
“Akhirnya saya terpaksa bayarkan untuk diri saya dan Zippy.
“Kami tiba di Malaysia 14 Julai dan Team Lunatix juga bersetuju yang saya boleh menebus kembali bayaran apabila tiba di Malaysia.
“Namun mereka tidak pernah membayar saya sejak saya tiba di Malaysia sehinggalah hari ini walaupun saya sudah pulang ke Myanmar,” tambah Kid.
3. Isu Pengurusan
Kid mendakwa setibanya dia dan Zippy di Malaysia, mereka terpaksa membeli pelbagai barang keperluan dengan duit sendiri seperti bantal. Kid juga menyatakan yang kunci pintu dan katil di bilik mereka rosak dan selimut yang disediakan berbau serta penyaman udara mengalami masalah kebocoran air.
“Kami terpaksa membeli selimut dan bantal dengan menggunakan duit sendiri,” kata Kid.
4. Sebab kenapa pilih untuk balik senyap-senyap.
Menurut Kid, mereka menukarkan tiket penerbangan dari 12 Ogos kepada 5 Ogos dan pada mulanya mereka mahu memaklumkan kepada Team Lunatix.
“Namun disebabkan faktor keselamatan, kami pilih untuk tidak memberitahu. Pada pagi 5 Ogos, kami memberi tahu pengurus yang kami akan pulang ke Myanmar,” kata Kid.
Dia juga berkata beberapa warga Myanmar yang berada di Malaysia juga membantu mereka dari segi pengangkutan ke lapangan terbang memandangkan mereka tiada wang saku untuk menaiki teksi.
Kid turut merumuskan kenyataannya dengan mendakwa:
1. Team Lunatix tidak membayar duit mereka selepas tinggal di Malaysia 22 hari
2. Kehabisan duit selepas banyak menggunakan untuk keperluan dan makanan
3. Diugut pemilik pasukan untuk disaman
4. Tiada privasi di gaming house
5. Tidak berasa selesa untuk tinggal di situasi itu.
Menurut Kid, pihaknya meminta maaf kepada semua peminat atas keputusan itu.
Jelasnya juga, dia memohon maaf kepada Moonton kerana menyebakan situasi seperti ini.
“Tapi kami tidak akan meminta maaf dengan keputusan kami untuk pulang ke Myanmar, dan dituduh dengan tuduhan palsu oleh Lunatix.”
Kedua-dua pihak difahamkan sedang memberi kerjasama dengan pihak pembangun permainan, MOONTON GAMES mengenai perkara ini.
MPL Malaysia akan membuka tirai pada 18 Ogos nanti dan perlawanan pertama Team Lunatix akan bermula pada Sabtu, 19 Ogos menentang pasukan yang sedang meningkat naik ketika ini, Selangor Red Giants.