Connect with us

PUBG Mobile

SEA Final: Pasha akui Dingoz MPX kurang pengalaman

Published

on

JURULATIH bagi pasukan PUBG Mobile tanah air, Dingoz MPX, Muhammad Nur Azmi Mohammed Halim (Pasha) mengakui anak-anak buahnya mempunyai pengalaman yang kurang untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara.

Pasha berkata Dingoz MPX akan cuba untuk memperbaiki dengan lebih baik menerusi pengalaman bersaing di Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3) 2021.

“Sejujurnya, kami banyak lagi perlu belajar kerana ini penyertaan kami di Asia Tenggara. Kami perlu mengutip lebih banyak pengalaman dan cuba perbaiki menjadi lebih baik,” kata Pasha.

Pasha berkata demikian dalam satu temu bual bersama pengulas SEA Final S3, Andriyana Mohamed Ghazali (Chuhu) selepas tamat pusingan ke-13 tadi.

Dalam pusingan itu, Dingoz MPX mengutip tiga mata sahaja.

Sementara itu, Pasha juga menyifatkan kesemua pasukan SEA Final S3 mempunyai kekuatan yang lebih kurang sama dan tiada mana-mana pasukan tertentu yang menonjol berbanding yang lain.

“Dalam kejohanan ini, ia lebih kepada siapa yang membuat lebih banyak atau kurang membuat kesilapan. Tiada siapa yang out performing (menunjukkan prestasi tinggi). Perbezaan mata antara pasukan pun tidak jauh dalam kejohanan ini,” tambah Pasha.

Dingoz MPX kini berada di ranking ke-12 dengan kutipan 75 mata ketika ini.

SEA Final S3 mempunyai lima lagi pusingan untuk dimainkan pada hari ini. Kejohanan itu melibatkan persaingan 16 pasukan PUBG Mobile terbaik Asia Tenggara dan boleh ditonton secara langsung di Facebook dan YouTube PUBG Mobile.

Ia menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM628,000 (AS$150,000) secara keseluruhan dan dua slot ke SEA Final Musim Keempat.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved