Connect with us

PUBG Mobile

SEA Final: Jangan remehkan rotation Badman, ini cara RSG kutip Chicken Dinner pertama Malaysia

Published

on

JANGAN remehkan penukaran posisi (rotation) yang dilakukan ketua dalam permainan (igl) RSG, Seanjev Tan Jian Rhen (Badman) dan pasukannya yang berjaya menghadiahkan kemenangan Chicken Dinner pertama negara di  Peringkat Akhir Liga Profesional PUBG Mobile Asia Tenggara Musim Ketiga (SEA Final S3) 2021 semalam.

Kesabaran menjadi kunci kemenangan pasukan RSG untuk membentuk laluan rotation yang sesuai untuk ke bulatan terakhir pusingan, iaitu di bahagian Utara Chumacera dalam pusingan ke-11 hari kedua SEA Final S3.

Dimulakan dengan rotation yang lebih awal berbanding pasukan-pasukan lain, RSG memulakan langkah pertama dengan beberapa siri scouting (pemantauan) di kawasan Graveyard pada minit kelima pusingan.

Meskipun dilihat tidak mempunyai looting (kelengkapan perang) yang mencukupi berbanding pasukan lain, namun strategi yang digunakan untuk  memenangi kejohanan liga PMPL MYSG tersebut tetap diaplikasikan jurulatih pasukan, Churchill Ensir Anak Tampler Salang kerana lebih mementingkan kedudukan pasukan yang selamat.

Mencuba untuk memperbaiki kedudukan dari kawasan Graveyard, fragger utama pasukan RSG, Imran Rosli (Vokey) dan Alexis Aw (Smallboy) dihantar untuk melakukan scouting di kawasan Power Grid namun akhirnya berundur selepas sedar akan keberadaan musuh yang sudah menghuni kawasan tersebut.

Foto: PUBG Mobile Esports

Proses scouting dan penukaran posisi ke tengah zon selamat melibatkan kira-kira 3,000 meter dan memerlukan hampir 12 minit untuk diselesaikan.

Berikut merupakan jalur rotation pasukan RSG dari lokasi mendarat (Minas Generales) hingga ke bulatan terakhir (Utara Chumacera).

Jalur rotation RSG di pusingan ke-11 semalam
  • Graveyard: Minit kelima
  • Bukit Pecado: Minit Ketujuh
  • Power Grid: Minit kesembilan
  • Utara Chumacera: Minit ke-12

Meskipun mengambil proses yang lama, proses scouting dan penukaran posisi ini dilihat membuahkan hasil lumayan, terutamanya apabila RSG berada di kedudukan penting di bulatan-bulatan terakhir.

Pada minit ke-15, selepas RSG tiba di kawasan perumahan di tengah zon bulatan keenam, pasukan itu berjaya memastikan pihak lawan yang berada di luar zon selamat, gagal untuk melakukan apa-apa serangan ataupun kemaraan ke kawasan yang dipegang oleh mereka.

Foto: PUBG Mobile Esports

Tidak gentar dan tidak takut, RSG berjaya menghalang kemaraan pasukan bertaraf dunia Bigetron Red Aliens, rakan senegara Dingoz MPX dan jaguh Indonesia, Aura Esports melalui penjagaan kawasan perumahan yang kemas.

Meskipun belum mengutip sebarang mata bunuh pada ketika itu kerana lebih memberi tumpuan terhadap rotation, RSG mahu memastikan mereka berjaya mengutip mata-mata bunuh yang mudah dari pihak lawan yang berada di luar bulatan.

Dalam hal ini, RSG berjaya memanfaatkan peluang yang ada menerusi kutipan mata-mata penting ketika memiliki zon selamat untuk mengoptimumkan peluang memenangi pusingan.

Aksi kemas di penghujung perlawanan akhirnya berjaya menghadiahkan mereka kemenangan Chicken Dinner selepas pelancaran serangan yang bijak terhadap pasukan EVOS Reborn dari Indonesia di bulatan terakhir.

Kini, pasukan RSG berada di kedudukan ke-13 secara keseluruhan dengan 67 mata secara keseluruhan.

Berikut adalah kedudukan pasukan-pasukan Malaysia selepas 12 pusingan berlangsung:

  • Geek Fam – Ranking ke-8
  • Dingoz MPX – Ranking ke-12
  • RSG – Ranking ke-13

Berikut merupakan Keputusan WWCD SEA Final S3 untuk hari kedua kejohanan:

  • Map 12- Erangel – The Infinity 🇹🇭
  • Map 11 – Miramar – RSG 🇲🇾
  • Map 10 – Sanhok – Aura Esports 🇮🇩
  • Map 9 – Erangel – Orange Esports🇰🇭
  • Map 7 – Sanhok – Infinity IQ 🇻🇳
  • Map 8 – Miramar – Eagle Esports 🇻🇳

SEA Final S3 2021 yang melibatkan persaingan 16 pasukan PUBG Mobile terbaik Asia Tenggara berlangsung pada 21-23 Mei jam bermula 5.30 petang.

Ia boleh ditonton secara langsung di Facebook dan YouTube PUBG Mobile.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM628,000 (AS$150,000) secara keseluruhan dan dua slot ke SEA Final Musim Keempat.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved