PUBG Mobile
PMWL: Loops E-sports dikenakan penalti selepas isu ‘team up’
PASUKAN profesional PUBG Mobile Brazil, Loops Esports dikenakan tindakan penalti dari pihak penganjur Liga Dunia (PMWL) Barat pada malam tadi.
Menurut pihak PUBG Mobile Esports, tindakan itu diambil berikutan tingkah laku Loops Esports yang tidak bersifat semangat kesukanan pada pusingan keempat, hari ketiga Super Weekend 2 PMWL Barat apabila bertembung dengan Team Queso di bahagian barat Camp Alpha, Sanhok.

“Berdasarkan tindakan Loops Esports, kami membuat kesimpulan bahawa pasukan itu sememangnya cuba untuk tidak bertembung dengan Team Queso.
“Walaupun tiada bukti yang menunjukkan interaksi antara kedua-dua pasukan itu, ia jelas menunjukkan tindakan yang tidak bersifat semangat kesukanan dari Loops Esports yang bertentangan dengan prinsif kompetitif kami,” kata PUBG Mobile Esports dalam satu kenyataan semalam.
Lantaran itu, PUBG Mobile Esports mengambil tindakan dengan menggugurkan kesemua mata yang dikumpulkan Loops Esports pada 26 Julai (Hari ketiga Super Weekend 2) yang lalu.
Ini bermaksud 44 mata yang dikumpulkan Loops Esports pada hari tersebut digugurkan.
Tiada unsur ‘team up’ – PUBG Mobile Esports (Barat)
Sebelum ini PUBG Mobile Esports menjalankan satu siasatan mengenai dakwaan ‘team up’ antara kedua-dua pasukan itu.
Menurut PUBG Mobile Esports, pihaknya tidak menjumpai sebarang corak permainan yang mencurigakan antara kedua-dua pasukan itu.

“Kami telah melihat kesemua perlawanan antara Team Queso dan Loops Esports, sama ada melibatkan pertembungan, komunikasi, mata bunuh dan serangan melumpuhkan (kills vs knockdowns) serta beberapa data berkaitan.
“Kami mendapati tiada perkara yang mencurigakan dan kami juga boleh mengesahkan Team Queso tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai tindakan Loops Esports itu,” katanya.
Dalam insiden itu, Loops Esports dilihat sedang bersembunyi di sebuah rumah yang terletak di bahagian darat Camp Alpha.
Dalam masa yang sama, visual menunjukkan pergerakan Team Queso yang tidak sampai 100 meter dari lokasi Loops Esports.
Visual juga menunjukkan kapten Loops Esports Michael Barboza (Dadin) mempunyai sasaran jelas, mengikuti pergerakan Miguel Ramoha (Mystic) namun Dadin hanya melepas satu das tembakan sahaja.
Susulan itu, Team Queso berjaya melepasi kawasan yang diduduki Loops Esports tadi tanpa sebarang kecederaan.
Loops Esports kini menduduki tempat pertama secara keseluruhan dalam PMWL Barat.
Pemainnya, Lucas Miguel (Carrilho) sebelum ini menjadi pemain terbaik pada peringkat Super Weekend, dua kali berturut-turut dengan kutipan 31 mata bunuh.
Loops Esports turut membawa pulang kira-kira RM8,500 selepas menduduki tempat pertama Super Weekend 2.
PMWL Barat turut menawarkan hadiah wang terkumpul yang sama seperti PMWL Timur iaitu RM1.8 juta (AS$425,000).
