Connect with us

PUBG Mobile

PMPL: Yoodo Gank raih Chicken Dinner di Sanhok

Published

on

Foto: Facebook / PUBG Mobile

KUALA LUMPUR – Pasukan PUBG Mobile The One and Onleh Yoodo Gank berjaya mengutip Chicken Dinner di peta kegemaran mereka, Sanhok pada pusingan terakhir hari pertama Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY SG) seketika tadi.

Yoodo Gank yang berjaya mengekalkan keempat-empat pemainnya pada bulatan akhir Sanhok di barat laut Ruins, dilihat selesa dalam koordinasi dan kedudukan masing-masing untuk meraih 15 mata kemenangan itu.

Pasukan itu berkeyakinan untuk meraih Chicken Dinner apabila pemainnya, Ahmad Fuad Razali (Fredo) mula membaling bom ke arah sebuah rumah yang diduduki pemain Westar Xpert Muhammad Afiq Irfan Azmi (Moon) pada minit ke 24.

Moon jatuh tersungkur dan Westar Xpert tersingkir di tempat ketiga pada pusingan itu.

Selain Yoodo Gank, dua pasukan yang masih hidup ketika itu adalah TRX Elementus dan Team Bosskurr dengan masing-masing mempunyai baki dua peman.

Beberapa saat kemudian pemain Team Bosskurr Rizki Hidayat Abd Mutalib (Zee) berjaya melumpuhkan Fredo. Zee berada kira-kira 100 meter dari bahagian timur Fredo.

Tidak sampai beberapa saat, rakan sepasukan Fredo, Azim Ikromi (Draxx) terus membaling bom ke arah Zee dan melumpuhkannya.

Draxx berjaya mengenalpasti kedudukan Zee, dan berjaya mendapatkan mata bunuh ke kelapan untuk Yoodo Gank dalam pusingan Sanhok itu.

Fredo dan Azmal Jasni (iNaoki) berjaya diselamatkan semula dan terus merusuh ke arah pasukan TRX Elementus dengan merentasi teluk Ruinns.

Meski Ahmad Qayhfishah Ahmad Kasdi (Ziso) sempat melumpuhkan Draxx, namun kapten Yoodo Gank, Aiman Mohd (Man Parang) membalas dengan membunuh Amirol Hakiem Sabaruddin (Kim).

Yoodo Gank kini mempunyai sembilan mata bunuh dalam tangan.

iNaoki terus merusuh ke arah Kim, namun Man Parang yang seolah-olah mempunyai mata helang berjaya mematikan hayat Kim dari jarak jauh.

Yoodo Gank terus mengawal bulatan akhir. Ketika itu, hanya tinggal pasukan The One and Onleh itu dan seorang pemain Team Bosskurr Azfar Iqbal Zulfahrizal (Azfar).

Azfar terus diburu, bagi menambah angka mata bunuh Yoodo Gank kepada 11.

Yoodo Gank kemudiannya menang Chicken Dinner dengan penuh berkeyakinan.

Menerusi kemenangan itu, Yoodo Gank kini merampas kedudukan nombor satu dari pasukan Team Secret, selepas mengutip 71 mata secara keseluruhan.

Ranking Hari Pertama PMPL MYSG : Foto: Facebook / PUBG Mobile
Ranking Hari Pertama PMPL MYSG : Foto: Facebook / PUBG Mobile

Yoodo Gank juga berjaya mengutip 31 mata bunuh setakat empat pusingan yang dipertandingkan.

Berikut adalah pemenang kutipan Chicken Dinner PMPL MYSG pada hari ini:

  • Pusingan 1 – Vikendi – PPG
  • Pusingan 2 – Miramar – Team Secret MY
  • Pusingan 3 – Erangel – Team Secret MY
  • Pusingan 4 – Sanhok – Yoodo Gank

Setiap pemenang Chicken Dinner pada musim kali ini akan menerima hadiah wang tunai kira-kira RM200 (AS$50).

Pada musim lalu Yoodo Gank berjaya mengutip lima Chicken Dinner di peta Sanhok dan mendapat gelaran sebagai Raja Sanhok Malaysia.

PMPL MYSG Musim Kedua akan kembali esok dengan peraturangan di antara kumpulan B dan kumpulan C.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved