Connect with us

PUBG Mobile

PMPL: SMG Putra seperti pembunuh upahan – J Hunter

Published

on

J Hunter (kanan) ketika mengulas mengenai pemain SMG yang mendapat gelaran Terminator minggu pertama PMPL MYSG Musim Kedua, Putra. - Foto PUBG Mobile

KUALA LUMPUR- Pemain pasukan Team SMG, Fairul Iskandar Putra Muazamshah (Putra) menonjolkan skil permainan yang luar biasa sehingga mendapat gelaran Terminator bagi minggu pertama Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua.

Pengulas e-sukan terkenal tanah air, Azrul Anwar (J Hunter) berkata Putra yang mendapat 34 mata bunuh (kills) dan satu Chicken Dinner itu dilihat sebagai ‘pembunuh upahan’ bagi pasukannya.

“Ini bukan pertama kali Putra menonjolkan corak permainan yang sebegitu rupa.

“Putra pernah melakukan perkara yang sama ketika bersama EVOS VIP (Musim Pertama PMPL MYSG).

“Seperti yang saya selalu cakap dalam ulasan saya, Putra ini seperti pembunuh upahan. Apabila berpindah pasukan, dia menjadi antara pemain yang mendapat mata bunuh terbanyak,” kata J Hunter.

Dia berkata demikian dalam satu rancangan bual bicara khas PMPL Talkshow yang bersiaran secara eksklusif di Facebook PUBG Mobile.

Dalam rancangan itu, jurulatih Team Secret MY, Muhammad Farhan Abdul Gaffar (Jangs) dan jurulatih Yoodo Gank Agusalim Amran (Hahagus) menjadi tetamu jemputan, bagi mengulas dan berbincang mengenai aksi-aksi pemain dalam minggu pertama PMPL MYSG.

Menurut Jangs, dia turut memuji aksi pemain yang berusia 17 tahun itu terutama dalam pusingan kesembilan PMPL MYSG di Miramar apabila pemain itu berjaya mendapat 14 mata bunuh dalam satu pusingan.

Statistik pemain pada hari kedua PMPL MYSG Musim Kedua- Foto Facebook / PUBG Mobile

Dalam pusingan itu, Putra dan Team SMG bertempur dengan beberapa pasukan kuat seperti Geek Fam, Team Bosskurr, dan EVOS VIP sebelum memenangi Chicken Dinner pertama mereka.

Sebelum menyertai Team SMG, Putra sebelum ini bermain bersama EVOS VIP selepas dipinjam dari Team Bosskurr pada musim pertama PMPL MYSG.

Pada tahun lalu, Putra bersama pasukan AROV Esports dan menjadi antara pemain termuda yang beraksi dalam Liga PMCO Musim Luruh Asia Tenggara.

Antara pencapaian Putra termasuklah:

  • Tempat Ketiga Liga PUBG Mobile Axis 2019
  • Tempat Ke-18 Liga PMCO Musim Luruh Asia Tenggara 2019
  • Tempat ke-14 Final PMPL MYSG Musim Pertama 2020
  • Anugerah Terminator Minggu Pertama PMPL MYSG Musim Kedua 2020

Menerusi kemenangan gelaran Terminator itu, Putra membawa pulang kira-kira RM800 (AS$200).

Sementara itu, finalis Liga Dunia PUBG Mobile, Team Secret MY muncul sebagai pasukan terbaik minggu pertama PMPL MYSG.

Team Secret MY membawa pulang kira-kira RM2,200 (AS$550).

PMPL MYSG akan berlangsung sehingga 27 September nanti dan menawarkan kira-kira RM625,000 (AS$125,000).

Ia melibatkan 24 pasukan PUBG Mobile terbaik di Malaysia dan Singapura.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved