Connect with us

PUBG Mobile

PMPL SEA Final: Menteri KBS, Reezal Merican ucap tahniah kepada Yoodo Gank

Published

on

Foto : Facebook / Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan PUBG Mobile nombor satu Asia Tenggara, Yoodo Gank atas kemenangan di Grand Final Liga Profesional Asia Tenggara (PMPL SEA Final) Musim Pertama 2020 semalam.

Reezal berkata kejayaan Yoodo Gank itu dilihat sebagai satu langkah positif untuk meraih lebih banyak pencapaian pada masa akan datang.

“Tahniah Yoodo Gank kerana secara rasmi merangkul gelaran juara Asia Tenggara dalam PMPL SEA Final Musim Pertama 2020. 

“Ini juga pertama kali Malaysia memenangi kejohanan PUBG Mobile di peringkat Asia Tenggara.

“Semoga pencapaian ini menjadi batu loncatan untuk kejayaan lebih hebat. Selamat maju untuk usaha-usaha akan datang dengan melakukan apa yang anda suka,” kata Reezal dalam satu ciapan pada pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut memberikan ucapan tahniah ringkas di Twitter.

Yoodo Gank, atau sinonim dengan gelaran The One and Onleh dalam kalangan peminat-peminatnya, dinobatkan sebagai yang terbaik di Asia Tenggara selepas mendominasi gelanggang maya PUBG Mobile dengan cemerlang pada semalam.

Yoodo Gank berjaya mengutip lima Chicken Dinner dari 15 pusingan yang dipertandingkan dalam SEA Final itu dan menjadikan markah keseluruhan sebanyak 284 mata, meninggalkan pasukan juara dunia Bigetron Red Aliens (Indonesia) sebanyak 97 mata.

Menerusi kemenangan di tempat pertama itu, Yoodo Gank secara automatik mendapat slot untuk bertarung di Liga Dunia PUBG Mobile dan membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM128,000 (AS$30,000).

Yoodo Gank terdiri daripada empat pemain muda berbakat besar Aiman Mohamad (Man Parang) sebagai kapten, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx), Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved