Connect with us

PUBG Mobile

PMPL: KBS, MB Selangor cuba bantu Bigetron AROV

Published

on

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sedia membantu Bigetron AROV.

KUALA LUMPUR – Pihak Kementerian Belia dan Sukan serta Menteri Besar Selangor sedia membantu kekangan yang dilalui pasukan PUBG Mobile Bigetron AROV dalam melakukan persiapan untuk beraksi dalam Final Liga Profesional (PMPL) Asia Tenggara (SEA Final).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya bersedia untuk membantu dalam memberikan keperluan berkaitan.

“InsyaAllah kami akan menyokong dan membantu mana yang perlu,” kata Wan Ahmad Fayhsal dalam satu ciapan ringkas pada semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi maklum balas kepada wakil Bigetron AROV, Danial Rusli yang memohon bantuan tambahan port internert dari Internet Service Provider (ISP).

Menurut Danial, pihak Bigetron AROV mempunyai masalah teknikal dengan sambungan dalam talian apabila port Unifi di jalan kawasan hostel dan pejabat mereka telah penuh.

“Hal ini menyebabkan kami tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk pertandingan ini.

“Semasa kami membuat permohonan untuk menukar lokasi, pihak Telekom Malaysia menyatakan bahawa port di jalan kami telah penuh dan kami diberitahu untuk tunggu sehingga ada port yang telah tidak digunakan atau batalkan kontrak bersama mereka,” kata Danial.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut memberi reaksi yang menyatakan hasrat untuk membantu Bigetron AROV.

“Apa sokongan yang diperlukan sila hantar mesej peribadi kepada saya,” katanya ringkas.

Bigetron AROV merupakan antara wakil Malaysia yang akan bersaing dalam PMPL SEA Final Musim Bunga pada 1-3 Mei nanti.

Sebanyak 16 pasukan terbaik Asia Tenggara akan terlibat bagi merebut dua slot mutlak ke Liga Dunia PMPL.

Kejohanan itu turut menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM624,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved