Connect with us

PUBG Mobile

PMPL: Bekas pro CSGO, Hannan kini pemain utama Team Bosskurr

Published

on

Foto: Team Bosskurr

NAMA Hannan mungkin satu nama yang asing dalam arena e-sukan kompetitif mudah alih.

Namun sebelum menyertai organisasi popular Team Bosskurr pada tahun lalu, Hannan Hamzah yang sebelum ini menggunakan nama samaran ‘Sovereign’ merupakan jaguh FPS di platform PC.

Hannan juga pernah mewakili Malaysia untuk e-sukan CSGO bagi Kelayakan Kejohanan ASUS ROG Masters di Manila, Filipina pada tahun 2017.

Memilih untuk menukarkan platform persaingan, Hannan kini bersedia untuk membantu meningkatkan nama Team Bosskurr dalam Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Ketiga yang akan datang.

Menurut Hannan yang pernah memegang portfolio sebagai jurulatih pasukan itu musim lalu, dia kini bersedia untuk bermain dalam barisan pemain utama Team Bosskurr berdasarkan cadangan rakan-rakan sepasukannya.

“Saya sering berlatih dengan Team Bosskurr untuk tempoh beberapa kali dan selepas Musim Kedua tamat, Azfar, Ngah dan Zee mencadangkan agar saya menjadi pemain berbanding jurulatih.

“Mereka mungkin menyifatkan peranan saya sebagai pemain memberi impak lebih besar berbanding jurulatih,” kata Hannan dalam satu temu bual bersama WTM Today baru-baru ini.

Sementara itu, Hannan turut berkongsikan perbandingan ketara antara platform PC dan Mudah Alih, iaitu disiplin.

“Pemain PC mempunyai lebih disiplin dalam mengejar objektif permainan.

“Disiplin yang dimaksudkan adalah menjaga kedudukan, fokus dan memilih keutamaan dalam permainan.

“Selain itu, perbandingan yang lain termasuk penggunaan mod FPP dan TPP. FPP memerlukan lebih banyak set kemahiran berbanding TPP,” tambah Hannan.

Pada Musim Ketiga nanti, Hannan akan bermain seiringan pemain-pemain PUBG Mobile tanah air yang berpengalaman seperti Azfar Iqbal Zulfahrizal (Azfar), Muhammad Fikri Adli Md Nizam (Ngah) dan Rizki Hidayat Abd Mutalib (Zee).

Hasrat Hannan hanya satu, menjadi pasukan yang lebih baik dari sebelum ini untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi dalam kejohanan.

Pada Musim Pertama PMPL MYSG, Team Bosskurr tidak dilihat sebagai pencabar utama dalam liga itu apabila hanya sekadar meraih tempat ke-18 dan gagal melayakkan diri ke peringkat final.

Menebus maruah berikutan prestasi yang tidak memberangsangkan itu, Team Bosskurr berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik dalam Kejohanan PUBG Mobile Malaysia (PMNC) 2020 dan mengunci slot ke PMPL MYSG Musim Kedua.

Pasukan itu berjaya memperbaiki kedudukan ke tangga ke-15 dan mara ke Final. Team Bosskurr mengakhiri edisi Final PMPL MYSG Musim Kedua dengan berada di tangga ke-12.

Meski ia bukan satu perubahan yang drastik, ia masih menunjukkan satu peningkatan dan potensi bagi Team Bosskurr untuk menjadi pencabar besar dalam gelanggang profesional tanah air pada masa akan datang.

PMPL MYSG Musim Ketiga dijangka akan bermula Mac nanti.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved