Connect with us

PUBG Mobile

PMPL: Baru sehari Badman jadi jurulatih, Damansara Esports raih Chicken Dinner kedua

Published

on

Foto: Facebook / Damansara Esports

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sehari Sean Tan (Badman) diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih pasukan PUBG Mobile Damansara Esports, pasukan itu telah meraih Chicken Dinner kedua dalam Liga Profesional Malaysia dan Singapura (PMPL MYSG) Musim Kedua seketika tadi.

Pemain Damansara Esports, Ahmad Aiman Mahadzir (Echong) turut mengesahkan Sean Tan telah mula bekerja sebagai jurulatih pada hari ini.

“Badman sudah mula menyertai pasukan kami dan menjalankan tugasnya,” kata Echong secara ringkas dalam satu temu bual PMPL, selepas meraih kemenangan Chicken Dinner di pusingan ke-30 PMPL hari ini.

Dalam pusingan itu menyaksikan pasukan yang sinonim dengan gelaran “Pembeli Circle” itu dilihat mampu beramal kedudukan zon selamat sehingga berjaya bertahan pada saat akhir.

Meski terpaksa berdepan dengan pasukan yang agresif, Resurgence MY dalam pertempuran 4 lawan 4, Damansara Esports dilihat kekal tenang sehingga mampu membunuh kesemua pemain Resurgence MY.

VIDEO: Chicken Dinner kedua Damansara Esports

Menerusi kemenangan Chicken Dinner itu, Damansara Esports membawa pulang wang tunai kira-kira RM200 (AS$50).

Sebelum menyertai Damansara Esports, Badman merupakan pemain profesional PUBG bagi pasukan Battle Arena Alites dan The Rejects.

Jurulatih yang berusia 21 tahun itu, pernah meluahkan hasrat untuk menyertai arena e-sukan mudah alih pada minggu lalu.

Menurut Badman, sudah tiba masanya dia membuka babak baharu dalam kehidupannya selepas memilih untuk meninggalkan platform kompetitif PC.

Antara pencapaian tertinggi Badman termasuk:

  • Tempat keempat Final PUBG MYSG Siri 2020
  • Tempat keempat PGS SEA Series 2020
  • Finalis Liga Acer Predator League 2020

Badman dan Damansara Esports kini berada di kedudukan ke-14 secara keseluruhan dengan 132 mata.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved