Connect with us

PUBG Mobile

PMGC:Tiada lagi masalah ping, Paraboy bakal tunjuk kaliber MVP pada final

Published

on

Foto Weibo / VSPN

MASALAH jaringan Internet lemah tentunya akan menjejaskan prestasi seseorang pemain profesional dalam mana-mana kejohanan e-sukan.

Pasukan popular PUBG Mobile China, Nova XQF juga tidak terkecuali dalam menghadapi masalah itu, terutama dalam kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC) baru-baru ini.

Dalam satu temubual melalui laman Trovo, bintang Nova XQF, Zhu Bocheng (Paraboy) mengakui bahawa jaringan Internet lemah sememangnya menganggu pasukannya untuk bermain dengan cemerlang.

Menurut Paraboy, pasukan mereka sering mengalami masalah ping tinggi sehingga boleh mencecah hingga 300ms bagi peringkat liga kejohanan atas talian tersebut.

“Kejohanan PMGC kali ni lebih sukar berbanding liga-liga China sebelum ini.

“Selalunya bagi kejohanan liga China, ping saya hanya akan sekitar 20ms manakala bagi peringkat liga PMGC pula ia boleh mencecah sehingga 300ms.

“Perkara tersebut amat mengejutkan bagi kami dan sering menjadi dilema bagi pasukan.” jelas Paraboy.

Foto: Trovo Live/ Nova Esports

Paraboy dan Nova XQF menamatkan saingan peringkat liga di tempat kelapan secara keseluruhan dengan 366 mata sekaligus melayakkan diri ke peringkat akhir.

Keputusan itu dilihat kurang menyerlah kerana pasukan Nova XQF merupakan antara pasukan pilihan untuk mengangkat piala kejohanan berprestij itu.

Antara kesilapan ketara pada peringkat liga yang lalu termasuklah kegagalan untuk melayakkan diri ke peringkat Super Weekend bagi minggu ketiga kejohanan yang menjejaskan peluang mereka untuk naik dalam carta keseluruhan.

Meskipun mengalami masalah ping, Paraboy yang pernah terpilih sebagai pemain terbaik tahunan Peacekeeper Elite Championship 2020 berjaya tersenarai dalam kelompok 10 pemain terbaik liga bagi kutipan jumlah mata bunuh.

Paraboy berjaya mengutip 100 mata bunuh dan memberi 307 purata kesan bunuh terhadap pihak lawan dalam liga PMGC 2020.

Dengan perubahan format dari pertandingan online ke offline, pasukan Nova XQF sekali lagi akan menjadi antara pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan tersebut, selain pasukan Bigetron RA dan 4AngryMen.

Kecemerlangan Nova XQF bagi kejohanan offline tidak lagi asing dalam komuniti PUBG Mobile serata dunia dengan kemenangan beberapa kejohanan berprestij seperti kejohanan PeaceKeeper Elite Championship 2020 dan PeaceKeeper Elite League 2020.

Kejohanan offline bukan sahaja memerlukan skil kendiri namun turut memerlukan kemahiran untuk mengadaptasi terhadap persekitaran kejohanan yang merangkumi ketahanan mental, jenis peranti dan lain-lain.

Rakan sepasukan Paraboy, Liu Xin (Cat ) turut mendedahkan bahawa pasukannya telah berlatih dengan peranti baharu yang diberikan oleh pihak penganjur sebagai langkah persiapan bagi kejohanan akhir tersebut.

Dalam rancangan siaran langsung tersebut, selain mendedahkan masalah ping yang dialaminya, Paraboy turut mendedahkan bahawa pasukannya telah berlatih sekurang-kurangnya 10 jam sehari bagi persiapan menjelang kejohanan PMGC.

“Kami akan bangun pada jam 12 tengah hari dan memulakan latihan hingga kira-kira jam 5 petang.

“Selepas berehat kami akan meneruskan latihan hingga lewat malam dan ulanginya setiap hari.

“Bagi kami, kami sudahpun terbiasa dengan jadual latihan sebegini dan kami cuba untuk mengelakkan sebarang hari percutian,” jelas Paraboy.

Kejohanan PMGC 2020 akan bermula semula pada 21 Januari nanti dan akan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul kira-kira RM8.18 juta (AS$2 juta).

Wakil Malaysia, Team Secret MY kini dalam perjalanan ke Dubai, UAE.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved