PUBG Mobile
PMGC: Yoodo Gank antara pilihan Ryzen
JAGUH dunia dan profesional PUBG Mobile Indonesia terkenal, Muhammad Albi (Ryzen) memilih pasukan tempatan Yoodo Gank sebagai antara pasukan pilihan untuk menemani pasukannya, Bigetron RA ke kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC).
Dalam satu posting melalui Instagram story, Ryzen dilihat memilih juara Asia Tenggara musim pertama itu untuk memenuhi empat slot dari rantau itu.
Selain pasukan Yoodo Gank, Ryzen juga memilih pasukan senegara Aura Esports, Aerowolf Limax dan gergasi Thailand, RRQ Athena sebagai ramalan ke PMGC.
Ryzen dan Bigetron RA sudahpun melayakkan diri ke PMGC selepas menerima jemputan terus dengan sebagai penyandang juara Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur Julai lalu.
Pengulas tempatan, Azrul Anwar (JHunter) turut menyenaraikan pasukan Yoodo Gank dalam pasukan pilihannya yang akan lolos ke PMGC di samping pasukan SMG, Team Secret MY dan RRQ Athena.
Pasukan tempatan Yoodo Gank yang sebelum ini menjuarai PMPL SEA Finals musim pertama 2020 semestinya mengharapkan dapat mengulangi kejayaan mereka di pentas itu agar mampu melayakkan diri ke kejohanan global yang dijangka akan dilangsungkan November nanti.
Berbeza dari musim pertama, pasukan yang sinonim dengan gelaran “The One and Onleh” ini dilihat lebih bersedia dengan penambahan pemain kelima, Azmal Jasni (iNaoki) ke dalam barisan pemain utama sejak awal Ogos lalu.
Selain iNaoki, Yoodo Gank turut terdiri daripada Aiman Amirul (Manparang) sebagai kapten, Izzrudin Hashim (Jumper) sebagai ketua dalam permainan, Fuad Alili (Fredo) sebagai rusher dan Azim Ikromi (Draxx) sebagai fragger.
Sebagai juara bertahan, Yoodo Gank mendapat jemputan terus ke peringkat akhir Asia Tenggara bagi musim kali ini dan bakal mewakili negara Malaysia bersama tiga pasukan lain; Geek Fam, Team Secret MY dan Still Moving Under GunFire.
PMPL SEA Finals bakal membuka tirai pada 23 Ogos nanti dan akan melibatkan pasukan-pasukan terhebat dari seluruh rantau Asia Tenggara.