Connect with us

PUBG Mobile

PMGC: Final hari kedua ditangguhkan

Published

on

Foto: PUBG Mobile

PIHAK penganjur Grand Final Kejohanan PUBG Mobile Global Musim Zero telah mengambil keputusan untuk menangguhkan siaran langsung hari kedua kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Perkara itu dikongsikan pengulas e-sukan J Hunter, menerusi penstriman langsung PUBG Mobile.

Jelasnya, beberapa pasukan yang bertanding masih mengalami masalah Internet dan pihak penganjur sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.

Pihak penganjur juga telah memohon maaf atas kesulitan itu kerana mahu memberikan perlawanan yang adil kepada kesemua pemain.

Pada petang tadi, pihak PUBG Mobile Esports turut mengumumkan penambahan jumlah pusingan yang sepatutnya dilakukan mulai hari ini.

Dalam pengumuman jadual itu, setiap pemain akan melalui tujuh pusingan setiap hari berbanding enam hari pada semalam.

Difahamkan, jumlah penambahan pusingan itu adalah untuk memastikan pemain dapat beraksi dalam suasana yang adil memandangkan terdapat masalah jaringan internet pada hari pertama Grand Final PMGC Musim Zero.

Foto: Instagram / Konina Power

Final PMGC 2020 yang sepatutnya berlangsung di Coca Cola Arena, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terpaksa berpindah lokasi ke bilik hotel, selepas tiga pemain didapati positif Covid-19.

Berdasarkan pelan kontigensi yang dinyatakan pihak PUBG Mobile Esports, setiap pemain akan bersaing secara berasingan dengan jaringan internet tersendiri dan bukannya berkumpul di lokasi kejohanan sebelum ini.

Hal itu adalah bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pemain menjadi keutamaan.

Difahamkan setiap pemain PMGC kini sedang menginap di salah sebuah hotel di Bandar Al Habtoor, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Final PMGC yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM4.8 juta (AS$1.2 juta) telah bermula sejak semalam.

Ia melibatkan persaingan 16 pasukan PUBG Mobile terbaik dunia merebut gelaran juara.

Pasukan Turki, Klas Digital Athletics kini mendahului dengan 80 mata secara keseluruhan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved