Connect with us

PUBG Mobile

PMGC: Apa jadi dengan Bigetron RA?

Published

on

Ngeprank lagi? Atau kali ini memang betul-betul?

Juara bertahan Bigetron Red Aliens kini menduduki tangga terakhir dalam carta keseluruhan Grand Final PUBG Mobile Global Championship (PMGC) 2020 selepas tamat hari pertama kejohanan.

Bekas pemenang kejohanan Liga Dunia PUBG Mobile (PMWL) Timur itu hanya berjaya mengutip sebanyak 15 mata keseluruhan dan memaparkan prestasi yang kurang konsisten sepanjang perlawanan kelmarin.

Gagal mencari momentum dari dua pusingan awal, Bigetron RA kelihatan terdesak untuk menukarkan strategi agar mampu mempertahankan gelaran juara dunia mereka dengan mendarat di kawasan Bootcamp bagi peta Sanhok.

Namun demikian, pasukan Brazil, Alpha 7 tidak gentar dengan cabaran pasukan juara dunia itu dan berjaya mengusir Bigetron RA dari lokasi mendarat tersebut selepas menyingkirkan pemain support mereka, Nizar Lugatio (Microboy).

Selepas hampir TooSoon dalam empat daripada enam pusingan yang dimainkan, pasukan Bigetron RA tidak menunjukkan corak permainan agresif dan strategik seperti yang dilakukan sebelum ini pada peringkat liga kejohanan.

Pada peringkat liga, pasukan terbaik Indonesia itu sempat bermaharajalela di puncak carta untuk beberapa hari, namun akhirnya dipintas oleh pasukan gergasi China, 4 Angry Men (4AM).

Kini, juara bertahan itu ketinggalan 65 mata di belakang pasukan yang mendahului, Klas Digital Athletics dan memerlukan tiga hari yang baik untuk memintas pasukan Turki itu.

Pemain profesional Malaysia, Aiman Amirul (Manparang) dari pasukan Yoodo Gank sempat memberi komen dan analisis ringkas mengenai prestasi Bigetron RA pada hari pertama kejohanan dalam satu siaran langsung melalui laman Facebook.

Menurut Manparang, pasukan Bigetron RA dilihat tidak bermain di “chokepoint” yang mereka biasa bermain dan kelihatan kurang selesa dengan kawasan baharu.

Tempat “Chokepoint” boleh dikategorikan sebagai suatu kawasan yang boleh memotong koordinasi pihak lawan yang ingin memasuki zon selamat.

Berikutan prestasi yang kurang baik semalam, pengurus Bigetron Esports, Isfan Satria Wijaya memuat naik satu foto ke laman Twitter yang menunjukkan bekalan-bekalan yang diberikan kepada pasukannya seperti Tripod Stand dan sebagainya.

“Hari ini mahu menyelenggara Internet agar jaringan menjadi lebih stabil,” jelas Isfan dalam kapsyen Twitternya.

Sementara itu, wakil negara, Team Secret MY berjaya berada di dalam kelompok lima pasukan terbaik dunia setakat ini.

Meski momentum persaingan Team Secret MY dilihat hadir dengan sedikit lewat apabila terkeluar awal dalam dua pusingan pertama, pasukan itu mula mendapat rentak pada pusingan ketiga yang berlangsung di Vikendi dengan memperbaiki kedudukan ke tempat ke-12.

BACA: PMGC: Team Secret top 5, kutip banyak kills

Saksikan secara langsung hari kedua Grand Final PMGC mulai 6.25 petang di saluran media sosial PUBG Mobile, YouTube, Twitch dan Facebook.

Kejuaraan dunia yang berlangsung selama empat hari itu menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM4.8 juta (AS$1.2 juta) dengan juara membawa pulang kira-kira RM2.8 juta (AS$700,000).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved