Connect with us

PUBG Mobile

PMGC: Execute Esports dapat slot PMGC selepas ada pepijat mata bunuh

Published

on

Foto: Twitter/ PUBG Mobile Esports

Pasukan Amerika Execute Esports akan menerima slot untuk menyertai kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC) kata, penganjur kejohanan Liga Profesional PUBG Mobile (PMPL) Amerika pada semalam.

Menurut penganjur, pemberian slot itu adalah berikutan kesilapan pengiraan mata bunuh pada hari terakhir kejohanan tersebut.

Dalam satu kenyataan rasmi melalui laman Twitter, pihak PUBG Mobile Esports turut mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai kata persetujuan untuk mengubah keputusan rasmi kejohanan tersebut.

“Setelah meneliti tangkapan skrin dan masa yang diberikan oleh komuniti PUBG Mobile serta peralatan kendiri, kami telah mencapai persetujan di mana wujudnya pepijat yang mengakibatkan masalah pengiraan mata akibat masalah Internet.

“Oleh itu, kami akan memberikan mata tersebut kepada pihak Execute dan menaikkan mereka ke tempat ketiga dalam carta keseluruhan sekaligus menerima slot PMGC.

“Pihak kami telah berhubung dengan pihak Execute dan A7 Esports dan kedua-dua pasukan memberikan kerjasama dalam isu ini,” jelas pihak mereka.

Pihak PUBG Mobile turut menjelaskan bahawa pihaknya telah mengenal pasti punca isu ini dan kini bersiap sedia agar kejadian ini tidak akan berulang di mana-mana kejohanan rasmi.

Sebelum ini, PUBG Mobile mengumumkan keputusan mereka untuk membuat siasatan berikutan dakwaan kesilapan pengiraan mata bunuh bagi menentukan pasukan-pasukan yang berjaya mendapat slot ke kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC).

Hal ini berikutan dakwaan daripada seorang pemain dari pasukan Execute Esports, Kevin Huang (Zootay) yang mendakwa bahawa terdapat pepijat bagi pengiraan mata bunuh sekaligus membuat pengiraan mata yang tidak tepat bagi pasukannya.

Melalui satu Tweet di laman Twitter beliau, Zootay mendakwa bahawa satu mata bunuh tidak diberikan kepada pasukannya rentetan pepijat pengiraan mata bunuh pada hari terakhir kejohanan tersebut.

Satu mata bunuh ini dianggap amat kritikal bagi Zootay dan ahli pasukannya kerana ianya menjadi penentu slot mereka untuk ke kejohanan PMGC yang dijangka akan berlangsung pada bulan November nanti.

Hanya tiga slot dibuka kepada pasukan-pasukan dari rantau Amerika bagi kelayakan ke PMGC.

Zootay, yang juga merupakan pemain berpengalaman dalam pentas kompetitif PUBG Mobile pernah bermain untuk pasukan-pasukan ternama seperti Cloud 9, Omen Elite dan Misfits.

Dengan keputusan yang diberikan oleh pihak penganjur, pasukan Execute Esports yang dipimpini Zootay kini mempunyai 157 mata dan naik ke tangga ketiga secara keseluruhan, memintas pasukan A7 Esports yang sebelum ini diberikan slot tersebut.

Zootay dan rakan sepasukan yang berjaya mendapatkan slot ketiga dari rantau Amerika tersebut kini berada di Shanghai, China untuk kejohanan PUBG Mobile Peacekeeper Elite Championship yang akan berlangsung pada 14 November nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved