Connect with us

PUBG Mobile

PMGC: China mula tunjuk taring, 4AM ‘mengamuk’

Published

on

Foto: PUBG Mobile / VSPN

PASUKAN 4AngryMen (4AM) dari China mula menunjukkan taring sebenar mereka apabila mendominasi hari pertama peringkat Super Weekend kejohanan PUBG Mobile Global Championship (PMGC).

Juara kejohanan Peacekeeper Elite League (PEL) itu berjaya mengutip sebanyak 38 mata bunuh dalam lima pusingan yang dipertandingkan pada semalam sekaligus mengumpulkan 79 mata secara keseluruhan.

Prestasi 4AM dalam peringkat Super Weekend dilihat jauh lebih cemerlang berbanding peringkat League Play dan kelihatan seperti pasukan gergasi tersebut sudah mula “panas” sejak permulaan Super Weekend.

Foto: esports.pubgmobile.com

Pasukan 4AM tampil agresif apabila memulakan hari dengan mengutip mata kemenangan Chicken Dinner dengan pungutan 18 mata bunuh sekaligus menjadikannya pungutan mata bunuh tertinggi bagi sesebuah pasukan dalam satu pusingan.

Dalam pusingan Erangel tersebut, 4AM berjaya menewaskan pasukan-pasukan seperti Abrupt Slayers (ASL) dan juara dunia, Bigetron RA di kota Rozhok.

Mengekalkan momentum daripada perlawanan pertama, 4AM mengekalkan konsistensi dan corak permainan agresif untuk berada di kedudukan teratas.

Berikut merupakan keputusan Chicken Dinner Super Weekend Hari Pertama:

  • Erangel – 4AM⁣⁣⁣⁣⁣⁣⁣
  • Vikendi – A7 Esports⁣⁣⁣⁣⁣⁣
  • Miramar – Team Secret MY⁣⁣⁣⁣⁣
  • Sanhok – Konina Power⁣⁣⁣
  • Erangel – Klas Digital Athletics⁣⁣

Pujian juga harus diberikan kepada pemain pasukan 4AM, Wu Chunjian (Hasaki) yang berjaya mengutip 13 mata bunuh dan memberi sebanyak 2139 kesan bunuh (damage) sekaligus dinobatkan sebagai pemain terbaik (MVP) hari pertama peringkat Super Weekend.

Berbanding keputusan pada peringkat League Play, pasukan-pasukan China seakan-akan telah mengadaptasi kepada corak perlawanan versi global sepanjang beberapa minggu berlatih.

Pasukan Nova XQF yang sebelum ini menghuni tempat kelapan dalam carta League Play, seakan-akan bermain dengan nafas baharu sekaligus menduduki tempat ketiga pada ketika ini.

Begitu juga dengan pasukan 4AM yang sebelum ini hanya menghuni tempat ketujuh.

Kebangkitan semula pasukan China dalam carta keseluruhan bakal menimbulkan persoalan sama ada pasukan-pasukan profesional China bakal kekal dominan sepanjang perlawanan peringkat Super Weekend.

Hanya 16 pasukan yang mengumpul mata tertinggi pada peringkat Super Weekend  berjaya melayakkan diri ke peringkat Final PMGC, yang dijangka akan bermula pada 24 Januari tahun hadapan.

Sementara itu, pasukan tempatan Team Secret MY menamatkan hari di tempat kesembilan dengan 32 mata keseluruhan.

Mampukah pasukan China mengekalkan konsistensi esok?

Kejohanan PMGC akan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak kira-kira RM8.18 juta (AS$2,000,000).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved