Connect with us

PUBG Mobile

#PMCO2019 : Jumper bakal jadi jurulatih Yoodo Gank

Published

on

Jumper sebelum ini terpilih sebagai pemain terbaik (MVP) bagi Kejohanan Grand Final PUBG Mobile Malaysia (PMNC) 2019 pada Julai lalu. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Pemain popular PUBG Mobile tanah air Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) difahamkan bakal menggalas jurulatih sementara untuk satu-satunya pasukan Malaysia ke Final Global Musim Luruh PUBG Mobile Club Open (PMCO) 2019, Yoodo Gank.

Menurut sumber, pemilihan Jumper itu adalah sebagai salah satu usaha bagi mengukukah corak permainan Yoodo Gank secara menyeluruh untuk menghadapi kejohanan dunia itu.

“Jumper sangat berpengalaman. Cara dia berfikir dalam pengurusan strategi memang sangat bagus.

“Jumper juga sangat tegas dalam kepimpinannya. Kami akan mengadakan bootcamp tidak lama lagi sebagai persiapan terakhir untuk kejohanan dunia ini dan Jumper akan turut serta sekali,” kata sumber tersebut.

Jumper yang merupakan bekas pemain VIP Squad sebelum ini terpilih sebagai pemain terbaik (MVP) bagi Kejohanan Grand Final PUBG Mobile Malaysia (PMNC) 2019 pada Julai lalu.

Dia dan VIP Squad juga layak ke Liga Asia Tenggara PMCO selama dua kali berturut-turut, yang berlangsung di Shanghai, China.

Mereka turut catat sejarah tersendiri apabila menjadi dua pasukan utama Malaysia yang layak ke Final Liga Asia Tenggara PMCO pada awal bulan lalu di Samyan Mirtown, Thailand.

Dalam kejohanan itu, VIP Squad berada di kedudukan ke-7.

VIP Squad bagaimanapun baru-baru ini mengumumkan Jumper tidak lagi bersama pasukan itu.

Menurut VIP Squad, mereka menghormati dan menerima keputusan Jumper yang mahu mengambil angin baharu dalam arena e-sukan ini.

“Walaupun tiada lagi satu skuad, tetapi kami tetap berkawan. Pasukan lain pun bertukar-tukar pemain, itu adalah adat dalam dunia ini.

“Hari-hari makan nasi lauk sambil ikan, sekali sekala mahu juga rasa ayam masak lemak cili api.

“Terima kasih Jumper dan semoga maju jaya di tempat baru dan moga maju jaya di masa hadapan,” kata VIP Squad.

Sementara itu, kejohanan berprestij PUBG Mobile, Final Global Musim Luruh 2019, bakal bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 29 November sehingga 1 Disember nanti.

Wang terkumpul kira-kira RM2 juta (AS$500,000) bakal ditaruhkan dan sebanyak 29 pasukan PUBG Mobile dari seluruh dunia akan merebut kejuaraan ini.

Bagi peminat PUBG Mobile yang mahu memeriahkan suasana e-sukan tanah air, jangan lupa dapatkan tiket anda di sini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved