Connect with us

PUBG Mobile

#PMCO2019: Fredo bakal jadi pengulas pada Final Global

Published

on

Fredo merupakan antara pempengaruh dalam arena e-sukan tanah air. Dia yang mempunyai kira-kira 569,000 pengikut ketika ini di Facebook. - Foto What's The Meta / MARIAH AHMAD

KUALA LUMPUR – Pemain kompetitif dan penghibur penstriman langsung terkenal tanah air, Ahmad Fuad Razali (Fredo) bakal menjadi pengulas untuk Final Global Musim Luruh PUBG Mobile Club Open (PMCO) 2019.

Perkara itu diumum PUBG Mobile dalam satu kenyataan malam tadi.

Fredo yang merupakan antara pengasas organisasi e-sukan Bosskurr Gaming (Bosskurr) juga dilihat sebagai satu pempengaruh besar dalam arena e-sukan tanah air.

Dia yang mempunyai kira-kira 569,000 pengikut ketika ini di Facebook sangat terkenal dengan skil permainannya dalam PUBG Mobile serta sifat rendah dirinya.

Selain Fredo, pengulas terkemuka tanah air, Azrul Anwar dan On The Go turut bakal menjadi barisan utama pengulas bagi kejohanan dunia itu.

Turut menjadi tetamu jemputan adalah Pengurus atlet e-sukan ke Sukan SEA 2019, Firdaus Hashim (MasterRamen).

Final Global Final Global Musim Luruh PUBG Mobile Club Open (PMCO) 2019 akan berlangsung pada 29 November sehingga 1 Disember depan di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC) Kuala Lumpur.

Wang terkumpul kira-kira RM2 juta (AS$500,000) bakal ditaruhkan dan sebanyak 29 pasukan PUBG Mobile dari seluruh dunia akan merebut kejuaraan ini.

Satu-satunya pasukan Malaysia, Yoodo Gank turut akan bersaing dalam kejohanan ini.

Yoodo Gank berjaya ke peringkat Global Final selepas berjaya berada di kedudukan paling atas antara kalangan pasukan Malaysia dalam Liga PMCO Asia Tenggara Musim Luruh yang berlangsung di Shanghai, China pada bulan lalu.

Selepas empat minggu bersaing di liga antarabangsa itu, Yoodo Gank meraih 590 mata, dengan 212 mata bunuh dan 2 Chicken Dinner.

Sebelum ini, Malaysia diumumkan sebagai tuan rumah Global Final PMCO dan diberikan satu kelebihan slot khas dalam kejohanan itu yang ditentukan menerusi pencapaian pasukan terbaik Malaysia dalam peringkat Liga PMCO Asia Tenggara.

Bagi peminat PUBG Mobile yang mahu memeriahkan suasana e-sukan tanah air, jangan lupa dapatkan tiket anda  di sini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved