PUBG Mobile
#PMCO2019 – Boyka bantu tingkat skil komunikasi, kuatkan mental kami – Bigetron RA

KUALA LUMPUR – Kehadiran pemain profesional PUBG Mobile tanah air, Khairunnazri Masli (Boyka) sebagai jurulatih sementara pasukan Indonesia Bigetron RA memang beri impak positif.
Pemain Bigetron RA, Made Bagus Prabaswara (Luxxy) berkata peranan Boyka amat membantu dari segi mengukuhkan kekuatan mental pasukannya.
“Skil komunikasi dan kekuatan mental kami sekarang berada dalam keadaan yang lebih baik dari sebelum ini,” kata Luxxy.
Jelas Luxxy, dia dan rakan-rakannya akan lebih memberi fokus kepada pencaturan strategi manakala Boyka akan melihat apakah yang perlu diperbaiki dari segi kerjasama pasukan dan cara komunikasi dalam perlawanan.
BACA: 3 Chicken Dinner berturut-turut, Bigetron RA terus mengganas di medan PMCO!
Sementara itu, Boyka pula berkata dia berpuas hati jika Bigetron RA menghargai apa yang telah diberikannya untuk anak-anak buahnya.
“Banyak tomahan yang diberikan dari orang ramai kepada saya sejak menyertai Bigetron RA namun saya tak kisah.
“Apa yang penting, Bigetron RA menghargai apa yang saya lakukan untuk mereka,”kata Boyka.
Dia berkata demikian kepada media selepas tamat hari kedua acara utama Final Global PMCO Musim Luruh 2019 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Selain Luxxy, Bigetron RA terdiri daripada Made Bagas Pramudita (Zuxxy), Muhammad Albi (Ryzen) dan Nizar Lugatio (MiCROBOY).