Connect with us

Mobile Legends

Perubahan ‘Spicy Boy’ Udil jadi ‘Soleh Boy’

Published

on

Udil dalam satu temu bual selepas menang menentang Bigetron Alpha. - Foto MPL Indonesia

KELAKUAN pemain profesional Mobile Legends bagi pasukan ONIC Esports, Muhammad Julian Ardiansyah (Udil) dalam beberapa sesi temu bual Liga Profesional Indonesia (MPL ID) nampak berbeza berbanding sebelum ini.

Udil yang sebelum ini digelar ‘Spicy Boy’ dalam kalangan komuniti e-sukan Indonesia kerana komen-komen pedasnya, dilihat semakin tenang dan tidak seperti masuk bakul angkat sendiri.

Jelas Udil, kelakuannya itu sebenarnya tidak pernah berubah.

“Kalau jujur, saya memang seperti ini. Cuma apa yang jadi pada 1-2 tahun lalu yang membuatkan saya terpesong dari jalan lurus.

“Saya bersyukur sekarang sudah kembali lurus.

“Jika kelmarin ada berita mengenai nama Udil dan Ijul mungkin itu sebabnya kenapa saya jadi seperti ini,” kata Udil dalam satu temu bual bersama hos MPL ID selepas memenangi perlawanan peringkat suku akhir menentang Bigetron Alpha.

Difahamkan, Ijul merupakan nama panggilan lain Udil.

Jawapan Udil itu dilihat mengejutkan hos MPL ID, Kornet dan Momochan.

Dalam wawancara itu, Kornet turut bertanyakan kepada Udil: “Adakah disebabkan kamu bermain, ONIC Esports mampu ‘naik kembali ke atas langit’?”

“Adakah dengan kehadiran kamu, ONIC Esports boleh memenangi MPL Indonesia Musim Kelima?.”

Udil menjawab:”Selama diizinkan yang Maha Esa.”

Momochan kemudiannya bertanyakan soalan: “Udil, berdasarkan temu bual sebelum ini adakah kamu yakin akan menjadi juara?

Udil membalas: “Wallahualam, saya tidak tahu. Itu izin Tuhan. InsyaAllah Onic akan menang musim kelima,” katanya.

Udil sebelum ini terkenal dengan kenyataan-kenyataan yang berbaur kontroversi sehingga dilabel sebagai angkuh dalam kalangan peminat.

Perubahan Udil itu turut mendapat reaksi berbeza dalam kalangan warganet dan komuniti Mobile Legends Indonesia.

Pengulas dan penganalisis e-sukan Indonesia, KB, dalam satu jenaka di Instagram berkata: “Revamp. Perubahan daripada seorang ’Spicy Boy’ menjadi ‘Soleh Boy.”

Sementara itu, ada yang melihat perubahan Udil ini perlu dianggap sebagai satu. pengajarannya buatnya supaya tidak angkuh.

“Semua orang ada masanya. Makanya, jangan cakap angkuh lagi,” kata pengguna Instagram @azripratamalubis.

Udil bersama ONIC Esports bakal beraksi pada perlawanan separuh akhir pada tengah hari nanti, menentang juara dunia EVOS Legends.

Dia dan ONIC Esports sebelum ini pernah menjadi juara MPL ID Musim Ketiga dan juara Piala Asia Tenggara MSC 2019.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved