PUBG Mobile
PEL ditangguhkan, player ‘bocah’ tak dapat main berikutan undang-undang baru China

BARU-BARU ini, pihak rasmi kejohanan liga terbesar e-sukan Game for Peace, iaitu Peacekeeper Elite (PEL) 2021 telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan penundaan penganjuran minggu ketika liga itu.
Liga PEL yang sepatutnya berlangsung pada 2 hingga 5 September ditunda kepada 9 hingga 12 September susulan undang-undang baharu yang diumumkan oleh kerajaan China semalam.
Menurut laporan berita CNN Business, kerajaan China telah mengharamkan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun daripada bermain permainan atas talian (online game) pada hari Isnin hingga Khamis dan hanya dibenarkan bermain selama satu jam pada setiap hari Jumaat, hujung minggu dan cuti persekolahan.
CNN Business juga memetik laporan agensi berita Xinhua dan The National Press and Publication Administration yang menyatakan permainan online itu hanya dibenarkan dari pukul 8 hingga 9 malam sahaja berkuat kuasa minggu ini.
Pada tahun 2019, kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dibenarkan bermain permainan online selama 90 minit setiap hari dan tiga jam semasa musim cuti persekolahan.
Langkah tersebut dilaksanakan bagi mengatasi masalah ketagihan bermain permainan online dalam kalangan kanak-kanak yang kini dilihat semakin membimbangkan.
Selain memberi impak besar kepada pelabur, liga PEL turut terkena tempias dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.
Hampir kesemua pasukan yang bertanding mempunyai pemain yang berusia bawah 18 tahun. Penangguhan liga terpaksa dibuat bagi memberi ruang kepada pasukan-pasukan untuk mendaftar pemain baharu.
Terdapat beberapa pemain bintang yang tidak akan dapat sambung bermain dalam liga tersebut kerana berumur bawah 18 tahun.
Antaranya adalah:
• Tao Lupeng (JDE 86, 17 tahun)
• Zhang Youquan (4AM QingChen, 17 tahun)
• Chen Quan (Weibo DaQuan, 17 tahun)
• Huang Yi (DKG Tian, 16 tahun)
• Wan Quanjun (LGD SuKi, 17 tahun)
• Xu Zhouhang (RNH 77H, 17 tahun)
Pada jendela perpindahan pemain yang lepas, Weibo Gaming telah berbelanja sebanyak RM4.3 juta untuk membeli DaQuan manakala JD Esports berbelanja sebanyak RM2.3 juta untuk membawa masuk 86.