Connect with us

Mobile Legends

Pelat ‘R’ bukan satu isu, Karakuri hebat sebagai pengulas – penerbit MPL

Published

on

Penerbit MPL, Chan Yang Tze memuji kesungguhan Karakuri yang sentiasa memilih untuk pandang ke hdapan dan tidak pernah dengan tunduk dengan tomahan-tomahan orang luar. - Foto Facebook / Mobile Legends Bang Bang

KUALA LUMPUR – Pihak produksi Kejohanan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL) tidak pernah sesekali melihat ketidakbolehan pengulas Mohammad Noorhafidzan (Karakuri) untuk menyebut huruf ‘R’ sebagai satu kelemahan.

Penerbit MPL Chan Yang Tze berkata, mereka lebih mengutamakan skil dan pengetahuan mendalam Karakuri mengenai Mobile Legends ketika melakukan pengulasan secara siaran langsung.

“Ia (pelat ‘R’) tidak pernah menjadi isu kepada kami. Saya melihatnya sebagai satu keunikan yang ada pada personaliti pengulas tersebut.

“Kekuatan Karakuri adalah ketangkasannya dalam memerhati perkara yang rumit dalam sesebuah permainan. Mobile Legends adalah e-sukan yang berkadar pantas, namun pembacaan dan pemerhatian peta Karukari tidak pernah tersasar.

“Malah, saya sentiasa mempelajari perkara baharu apabila mendengar dia mengulas,” kata Yang Tze ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.

Karakuri merupakan antara pengulas MPL Malaysia dan Singapura yang berlangsung sejak 1 Mac lalu.

Selain menjadi seorang pengulas, Karakuri juga sering melakukan penstriman langsung di Facebooknya yang kini mempunyai lebih 74,000 pengikut.

Menerusi Facebook Karakuri juga, ia berjaya menarik perhatian Yang Tze sebagai penerbit untuk mengajak Karakuri mengulas MPL musim kedua pada tahun lepas.

“Saya masih ingat lagi ketika saya ingin mencari pengulas dan ada mencadangkan saya nama Karakuri. Saya ingat lagi saya menonton Facebooknya pada jam 2 pagi ketika dia melakukan penstriman langsung Mobile Legends.

“Dia sedang mencuba barangan dan beberapa hero. Saya boleh nampak usaha dan dedikasinya dan saya membuat keputusan untuk menghubunginya.

“Dia tidak mempunyai sebarang pengalaman untuk mengulas sebelum ini tetapi dia mempunyai pengetahuan luas dalam e-sukan tersebut serta mempunyai kesungguhan untuk memperbaiki dirinya menjadi pengulas yang baik,” tambah Yang Tze.

Yang Tze juga berkata berikutan minat mendalam Karakuri, kemahuan untuk sentiasa belajar serta sikap rendah diri, menjadi asas kepada dorongan Karakuri untuk memberikan yang terbaik, dan menjadikannya antara yang pengulas yang disegani hari ini.

Yang Tze turut memuji kesungguhan Karakuri yang sentiasa memilih untuk pandang ke hdapan dan tidak pernah dengan tunduk dengan tomahan-tomahan orang luar.

“Tidak kisahlah apa orang cakap, dia sentiasa bersungguh-sungguh dan mengambil serius dengan kerjanya.

“Dia tidak pernah membiarkan perkara negatif menjatuhkan dirinya dan itu adalah satu sikap yang bagus,” katanya.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved