Connect with us

Mobile Legends

MPL: Kolia terkejut NARA Esports SG catat rekod tersendiri, 9-0 tanpa kalah

Published

on

Selain Kolia, Nara terdiri daripada pemain yang berpengalaman seperti Fenrir, Eric X Xmxmxm, Orca dan Fossa. Foto: mysg.mpl.mobilelegends.com

Helang itu terus gah terbang tinggi,

Memerhati pergerakan mangsa penuh teliti,

Menyusun langkah dengan berhati-hati,

Bagi mencipta satu detik kemenangan yang pasti.

Pemain profesional Mobile Legends Ng Shao Ming atau senang dikenali sebagai Kolia menyifatkan rekod kemenangan tanpa kalah pasukannya NARA Esports SG (NARA) di pusingan liga profesional (MPL) musim ketiga baru-baru ini sebagai satu perkara yang mengejutkan.

Kolia berkata tiada siapa jangka skuad yang baru ditubuhkan itu mampu mencatatkan rekod sedemikian rupa.

“Prestasi NARA memang mengejutkan saya. Rekod bersih 9-0 memang satu sejarah baharu dalam MPL Malaysia dan Singapura walaupun skuad kami baru ditubuhkan.

“Meskipun dengan kemenangan yang diraih itu, kami sentiasa memilih untuk pandang kehadapan memandangkan meta (Strategi Paling Efektif) sentiasa berubah dan kebanyakan pasukan dalam liga turut menunjukkan perubahan yang baik,” katanya ketika dihubungi WTM Today baru-baru ini.

Kedudukan pasukan-pasukan profesional Malaysia dan Singapura dalam Liga MPL musim ketiga yang diungguli pasukan NARA Esports SG – Foto Facebook / Mobile Legends

Kolia yang sebelum ini meraih kedudukan naib juara musim kedua MPL bersama EVOS Esports SG berkata, pasukannya tidak mempunyai atau menyimpan apa-apa “senjata rahsia”.

Jelas Kolia, ketika perlawanan peringkat musim berlangsung mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan kehadiran pemain simpanan apabila tidak boleh bermain dengan barisan lima pemain utama.

“Berikutan penyesuaian itu, kami ada ubah sedikit corak permainan kami dan mungkin memberi sedikit kejutan pada pihak lawan.

“Kami akan sentiasa terus memberikan strategi-strategi yang berlainan dan saya rasa memang kami tiada rahsia untuk pusingan penentu (playoff) nanti hahaha,” tambah Kolia.

Selain Kolia, NARA yang terdiri daripada pemain yang berpengalaman seperti Fenrir, Eric X Xmxmxm, Orca dan Fossa turut terpilih sebagai pasukan terbaik di peringkat liga MPL musim ketiga apabila berada di kedudukan nombor satu dengan 25 mata.

Sementara itu bagi Fenrir dan Eric X, masing-masing mencatatkan rekod kejayaan peribadi apabila Fenrir dinobat pemain terbaik KDA (Kill-Death-Assist) dan Eric X sebagai MVP (Pemain Terbaik).

Fenrir dinobat pemain terbaik KDA (Kill-Death-Assist) MPL Malaysia dan Singapura Musim Ketiga – Foto Facebook / Mobile Legends

NARA bersama 7 lagi pasukan Mobile Legends Malaysia dan Singapura yang lain bakal bersaing di pusingan penentu pada hujung minggu ini di Sunway Pyramid, Selangor.

Menurut Kolia, dia bersyukur apabila mendapat peluang untuk mara ke pusingan itu bersama pasukan yang mampu memberi kerjasama baik untuk mencapai objektif yang sama.

“Usaha yang kami berikan mungkin tidak mencukupi seperti Reborn musim lalu. Namun, jika kami sentiasa ‘kehausan’, kami akan sentiasa berikan yang terbaik dan capai apa yang boleh.

“Kami juga meraikan peluang yang diberikan untuk bermain sebagai satu pasukan, yang mampu memberi kerjsama untuk mencapai matlamat. Itu yang berharga sebenarnya,” tambah Kolia mengakhiri perbualan.

Pusingan Grand Final MPL yang bakal berlangsung pada 20 dan 21 April nanti menyaksikan empat pasukan Singapura NARA, EVOS, Resurgence, Bigetron SG dan empat pasukan Malaysia, Reborn, Geek Fam, Xpax X-Assins dan Shopee Bosskurr bertarung mendapatkan gelaran juara kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM400,000.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved