PUBG Mobile
PEL: Liga PEL kembali dengan format baru, masih tawar wang tunai RM1.24 juta

KEJOHANAN terbesar Game For Peace (GFP) di China, Peacekeeper Elite League (PEL) musim keempat telah pun membuka tirainya pada semalam dan menawarkan hadiah wang terkumpul mingguan kira-kira sebanyak RM1.24 juta (1.89 juta Yuan) iaitu jumlah yang sama seperti musim lalu.
Liga PEL akan berlangsung selama lima minggu dan juara mingguan akan membawa pulang hadiah wang kemenangan kira-kira RM651,000 (1 juta Yuan).
20 pasukan akan bertanding dan 15 pasukan yang berada di ranking teratas Weekly Final akan layak ke peringkat Grand Final yang akan dimainkan pada 25 hingga 28 November.
Terdapat satu perubahan dari segi format permainan yang baru diperkenalkan bagi Liga PEL Musim Keempat. Format yang dinamakan sebagai airborne deployment mechanism dibahagikan kepada tiga peraturan.
Tiga peraturan tersebut adalah seperti berikut:
1. Setiap laluan kapal terbang akan dibahagikan kepada tiga pecahan dan pasukan akan menerjun mengikut peraturan pecahan yang telah ditetapkan.
2. Mana-mana pasukan yang tidak terjun mengikut pecahan yang telah ditetapkan akan dipaksa terjun serta merta.
3. Peraturan akan berubah berdasarkan keputusan pada minggu yang lepas. Pada minggu pertama, setiap pasukan telah diberikan pecahan terjunan berdasarkan ranking keseluruhan PEL Musim Ketiga. Minggu kedua akan ditetapkan berdasarkan keputusan minggu pertama.
Ini akan memberikan cabaran yang baharu kepada para pemain dan menguji kepakaran dari segi strategi dan putaran.
Kejohanan PEL yang sepatutnya dimainkan di arena Xi’an VSPN E-sports Center terpaksa ditukar bermain secara atas talian pada saat akhir.
Hal ini kerana pihak pengurusan ingin mengelakkan orang ramai untuk berkumpul di arena tersebut berikutan terdapat beberapa kes Covid-19 yang masih aktif di kawasan Xi’an dan Qujiang.
Sementara itu, pasukan Tong Jia Bao Esports diberikan slot automatik ke Kejohanan Global PUBG Mobile (PMGC) 2021. Berita tersebut di kongsi oleh pihak PEL di laman rasmi Weibo.
Keputusan tersebut agak mengejutkan dan menimbulkan kemarahan bagi peminat pasukan 4 Angry Men dan Nova Esports. Kedua-dua pasukan tersebut muncul sebagai juara Liga dan Grand Final PMGC 2020 namun tidak diberikan slot automatik.
Pemilihan Tong Jia Bao Esports sebagai wakil negara China adalah atas faktor juara Peacekeeper Elite Championship (PEC) 2021.
Namun begitu, Tong Jia Bao Esports berpotensi untuk bermain di peringkat tertinggi tanpa tonggak utama iaitu Liu Yang (OnlyS) yang kini menghidap sakit radang sendi.
OnlyS tidak akan bermain di liga PEL Musim Keempat dan berkemungkinan akan bersara daripada menjadi pemain profesional sekiranya masih belum sembuh sepenuhnya.
Dua pasukan yang berjaya mengutip mata ke PMGC tertinggi bagi liga PEL akan turut mengiringi Tong Jia Bao Esports ke PMGC 2021.
Pendahulu bagi ranking tersebut adalah Nova Esports dengan 32 mata. Di tempat kedua adalah Tong Jia Bao Esports dengan 26 mata manakala di tempat ketiga adalah ShowTime dengan 18 mata.
Liga PEL Musim Keempat akan jadi kejohanan terpenting bagi para pemain untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Juara Grand Final PEL akan membawa pulang 40 mata berharga. Peluang masih terbuka bagi semua pasukan yang bertanding.
Sebanyak 11 pasukan telah membuat rombakan pada jendela perpindahan yang berlangsung 6-8 Oktober baru-baru ini. Tujuh pemain telah berpindah secara kekal manakala 19 pemain berpindah secara pinjaman.
Pasukan Qing Jiu Club telah berbelanja kira-kira RM5.4 juta (8.3 juta Yuan) untuk membawa masuk tiga pemain berpengalaman. Zhou Yuchao merupakan pemain termahal bagi jendela perpindahan kali ini apabila dibayar kira-kira RM3.7 juta (5.73 juta Yuan) oleh Qing Jiu Club ke pasukan All Gamers.
Kejohanan PEL boleh ditonton di laman rasmi Huya TV, iaitu huya.com/660006.