PUBG Mobile
PEL Grand Final:NOVA lonjak ke ranking kedua, Order kunci penting kebangkitan

PASUKAN Nova Esports menepati ramalan peminat apabila berjaya melakukan kebangkitan pada hari kedua Grand Final Peacekeeper Elite League Musim Ketiga (PEL S3) 2021.
Nova Esports mengutip 80 mata kesuluruhan dalam lima pusingan yang dimainkan pada malam tadi dan dua Winner Winner Chicken Dinner (WWCD) pada pusingan pertama dan keempat grand final.
Pasukan itu juga telah berjaya melonjak naik 11 anak tangga, berbanding hari semalam dan kini menghuni tangga kedua ranking keseluruhan.
Tonggak utama Nova Esports, Zeng Zehai (Order) menjadi kunci penting kebangkitan pasukannya. Order berjaya mengutip 17 mata bunuh, jumlah yang terbanyak untuk mana-mana pemain pada hari kedua Grand Final PEL.
Sementara itu, pasukan The Chosen kekal berada di tangga pertama apabila sekali lagi mengutip dua WWCD.
The Chosen kini mengutip sebanyak 150 mata kesuluruhan, 44 mata di hadapan Nova Esports.
Sekiranya The Chosen berjaya mengekalkan momentum kemenangan pada hari ketiga, peluang untuk menjadi juara dilihat semakin cerah berbanding dengan pasukan-pasukan lain.
Manakala pasukan TeamPai mencatatkan prestasi terburuk setelah hanya mengutip sembilan mata.
TeamPai yang semalam menamatkan pusingan di tangga keempat terpaksa akur dengan kedudukan semasa iaitu di tangga ke-13.
Dua lagi pasukan yang masih bergelut tanpa tonggak utama adalah pasukan Weibo Gaming dan LGD Gaming.
Kedua-dua pasukan tersebut kehilangan Chen Quan (Weibo DaQuan) dan
Wan Quanjun (LGD SuKi) yang tidak dibenarkan bermain kerana masih berumur bawah 18 tahun.
Keputusan WWCD Grand Final:
Map 6: Nova Esports
Map 7: 4 Angry Men
Map 8: The Chosen
Map 9: Nova Esports
Map 10: The Chosen
Masih ada baki 10 pusingan untuk dimainkan dan pasukan yang menjadi juara akan membawa pulang hadiah wang kemenangan kira-kira sebanyak RM1.3 juta (2 juta Yuan).