PUBG Mobile
PEL: FlowerC pemain termahal 2022, Xinhe keluar 4AM

FRANCAIS Peacekeeper Elite League (PEL) telah melangsungkan sistem bidaan untuk pemain yang disenaraikan dalam jendela perpindahan Liga PEL Musim Bunga 2022 pada tanggal 24 Januari hingga 26 Januari baru-baru ini.
Terdapat seramai 17 pemain yang berjaya berada di senarai akhir dalam sistem bidaan dan beberapa nama besar turut mencuri perhatian para peminat.
Berikut adalah lima pemain dengan nilai perpindahan tertinggi:
5. Li He (Xinhe) – 4 Angry Men ke ThunderTalk Gaming RM660,000 (1 juta Yuan)
Xinhe adalah pemain kedua daripada barisan asal 4 Angry Men yang berpindah keluar selepas Feng Shujie (Suk).
Nama Xinhe jarang disebut oleh para peminat 4 Angry Men namun banyak sumbangan yang diberikan olehnya dalam merebut pelbagai kejuaraan sebelum ini.
Antara pencapaian terbaik Xinhe bersama 4 Angry Men:
• Juara Liga PEL 2019
• Naib juara PeaceKeeper Elite Championship (PEC) 2019
• Naib juara Liga PEL Musim Pertama 2020
• Juara Liga PEL Musim Ketiga 2020
• Juara Liga Kejohanan Global PUBG Mobile (PMGC) 2020
• Naib juara Final Kejohanan Global PUBG Mobile (PMGC) 2020
4. Zhang Zhiqiang (Junmo) – ShowTime ke Tong Jia Bao Esports RM731, 000 (1.11 juta Yuan)
Gandingan Junmo bersama dengan Chen Quan (DaQuan) merupakan gandingan yang terbaik pernah ada bagi pasukan ShowTime.
Prestasi Junmo sedikit merosot selepas DaQuan berpindah ke pasukan Weibo Gaming.
Junmo kini akan menjadi pemain penting bagi Tong Jia Bao Esports untuk melakukan kebangkitan selepas prestasi buruk di PMGC 2021.
3. Wang Jiawei (Lolita) – The Chosen ke TeamPai RM1.2 juta, (1.83 juta Yuan)
Seorang lagi pemain The Chosen yang dibeli pada jendela perpindahan yang sama dengan FlowerC tetapi jarang diberi peluang oleh jurulatih untuk bermain.
Lolita merupakan antara pemain veteran yang masih bertanding di peringkat tertinggi dan mula beraksi di Liga PEL sejak tahun 2019.
2. Xiao Haitao (Lon9z) – Tong Jia Bao Esports ke JD Esports, RM1.31 juta (1.99 juta Yuan)
Lon9z memainkan peranan penting dalam membawa pasukan Tong Jia Bao Esports muncul sebagai juara Liga PEL Musim Kedua 2021.
Lon9z gagal mengulangi kejayaan yang sama pada Kejohanan Global PUBG Mobile (PMGC) 2021 apabila menamatkan liga di tangga ke-19 sekaligus gagal ke peringkat akhir liga.
1. You Guochuan (FlowerC) – The Chosen ke Regans Gaming, RM2.9 juta (4.41 juta Yuan)
Satu perpindahan yang mencetuskan kejutan terutama sekali buat para peminat.
FlowerC yang merupakan salah seorang pemain terbaik di Liga PEL memutuskan untuk keluar dari The Chosen kerana difahamkan tidak gembira bermain di posisi yang diletakkan oleh pihak The Chosen.
The Chosen membayar sebanyak RM2.6 juta (3.95 juta Yuan) kepada pasukan Still Moving Under Gunfire untuk mendapatkan khidmat FlowerC namun pemain tersebut hanya bertahan selama dua musim di The Chosen.