PUBG Mobile
Blacklist bubar skuad PUBGM sebab tak perform, jadual tour esports

GERGASI e-sukan Filipina, Blacklist International (Blacklist) sah akan membubarkan skuad PUBG Mobilenya pada semalam.
Blacklist berkata keputusan itu dilakukan atas beberapa faktor, termasuk prestasi pasukan dan jadual e-sukan itu sendiri.
“Ada beberapa sebab kenapa kami membubarkan pasukan ini, antaranya kerana prestasi pasukan ini tidak mencapai tahap yang kami mahukan selepas melakukan penstrukturan semula dan juga disebabkan jadual kejohanan e-sukan PUBG Mobile.
“Kami berterima kasih kepada pemain-pemain atas kerja keras ketika mewakili Blacklist.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Jelas Blacklist pihaknya juga akan meninggalkan PUBG Mobile untuk tempoh ini dan bakal mencari e-sukan baharu pada masa akan datang.
Pada peringkat Grand Final Kelayakan Liga Profesional Malaysia, Singapura, Filipina Musim Kelima (PMPL MYSGPH S5) 2022 yang lalu, Blacklist terpaksa berpuas hati berada di tempat kelima dan terpaksa melupakan hasrat untuk bermain di peringkat liga.
Hanya satu sahaja wakil Filipina ke liga itu, iaitu KHI Esports selaku juara peringkat kelayakan negara itu.
Sebelum ini, Blacklist pernah menjuarai Kejohanan PUBG Mobile Terbuka : Musim Luruh 2021 (Filipina) pada tahun 2021.
Ia mula ditubuhkan pada Februari 2020 dengan menandatangani beberapa pemain termasuk Alas, Vigor, Chapo dan Aeonz.