Connect with us

Mobile Legends

Oura, Donkey rasmi lancar IG Geng Kapak Esport

Published

on

Foto: YouTube / EVOS Esports

BEKAS pemain kompetitif Mobile Legends terbaik dunia, Eko Julianto (Oura), bersama bekas rakan sepasukan EVOS Legends Yurino Putra (Donkey) dan pengasas-pengasas yang lain melancarkan akaun Instagram organisasi e-sukan Geng Kapak Esports (GPX) pada pagi tadi.

Keputusan untuk menubuhkan akaun media sosial itu dilihat sebagai satu langkah serius daripada pengasas-pengasas GPX, yang turut terdiri dari pelakon Indonesia terkenal, Baim Wong.

Menurut Donkey yang pernah memenangi kejuaraan dunia M1 pada tahun lalu, penubuhan GPX adalah untuk meningkatkan lagi perkembangan e-sukan di negara itu.

“Sokong kami di GPX sebagai satu pasukan e-sukan yang mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar yang lain.

“Kami akan berikan yang terbaik untuk perkembangan e-sukan Indonesia dengan bakat-bakat pemain yang hebat,”kata Donkey dalam satu komen di Instagram.

Selepas melancarkan akaun tersebut pada jam kira-kira 6.30 pagi tadi, akaun Instagram @gpx.idn itu telah mencecah lebih 138,000 pengikut.

Berdasarkan pemerhatian WTM Today, akaun tersebut telah memuatnaik 10 gambar termasuk pengenalan pengasas-pengasas GPX itu.

Sementara itu, Donkey juga tidak menafikan satu barisan pemain akan ditubuhkan sebagai persiapan ke Liga Profesional Mobile Legends Indonesia pada masa akan datang.

“Kita harus bekerja keras dahulu,” katanya.

Pada tahun lalu, Donkey dan Oura bersama EVOS Legends muncul sebagai juara dunia, M1 membawa pulang hadiah utama wang tunai bernilai kira-kira RM330,000 (AS$80,000) manakala Oura yang dianugerahkan sebagai pemain paling bernilai telah menggondol hadiah wang tunai kira-kira RM12,000 (AS$3,000)

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved