Connect with us

Mobile Legends

ONE Esports MLI: Team Bosskurr fokus tingkatkan chemistry

Published

on

KUALA LUMPUR – Tumpuan latihan Team Bosskurr ketika ini bagi menghadapi Kejohanan ONE Esports Mobile Legends Invitational 2020 adalah dengan memberi lebih perhatian dalam mengukuhkan persefahaman antara pemain kata jurulatih Muhammad Rifhan Mohd Rizal (Hangus).

Hangus berkata perkara tersebut perlu dilakukan memandangkan peranan pemain-pemain Team Boskurr sudah bertukar.

“Tumpuan Team Bosskurr sudah tentu perlu mencari chemistry kerana posisi pemain sudah bertukar.

“Sekarang ini saya memberi tumpuan kepada Zaraki kerana dia bermain sebagai posisi support/tank. Sebelum ini dia bermain posisi marksman atau fighter,” kata Hangus kepada WTM Today.

Pada hujung minggu lalu, Team Bosskurr berjaya menempah slot ke kejohanan antarabangsa ONE Esports Mobile Legends Invitational 2020 selepas memenangi pusingan kelayakan Malaysia.

Team Bosskurr mara ke peringkat itu selepas menewaskan Todak 3-1 dalam pusingan lima terbaik di Grand Final bagi kelayakan Malaysia.

Jelas Hangus, dia memang gembira dengan pencapaian anak-anak buahnya itu, yang tetap meneruskan latihan walaupun Liga Profesional Malaysia dan Singapura (MPL MY/SG) Musim kelima telah tamat.

Hangus berkata Team Bosskurr akan meluangkan masa sekurang-kurangnya enam jam sehari untuk menjalani sesi latihan memandangkan ada dalam kalangan pemain Team Bosskur perlu memberi komitmen dalam penstriman langsung.

“Saya rasa mereka memang layak untuk menjadi juara sebab selepas MPL habis pun mereka masih meneruskan latihan walaupun penat.

“Mereka juga sudah bermula berlatih dengan barisan pemain baharu, bersama Kaizer. Jadi saya memang nampak kekuatan mereka.

Team Bosskurr dilihat mengembalikan nafas baharu Sukan SEA 2019 selepas meletakkan lima pemainnya yang mempunyai pengalaman beraksi dalam temasya dwitahunan itu dalam barisan utama skuad Mobile Legends.

Dalam kejohanan Asia Tenggara itu Team Bosskurr berjaya menyumbangkan pingat gangsa kepada Malaysia.

Berikut adalah senarai pemain Team Boskurr ketika ini:

  • Ahmad Ali Huzaifi Abdullah (Leixia)
  • Jamil Nurolla (Zaraki)
  • Amir Afdal (Syno)
  • Hazeem Onn (Scott)
  • Izme Haqeem Hamsjid (Kaizer)
  • Abdul Wandi Abdul Kadir (Logan)

Sementara itu, bagi perkembangan Kejohanan ONE Esports Mobile Legends Invitational 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 1-5 Julai 2020 di Jakarta Indonesia, akan ditunda pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Menurut ONE Esports, keputusan untuk menunda Kejohanan ONE Esports MLI 2020 itu adalah berikutan peraturan-peraturan kerajaan tempatan dalam menangani wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved