Connect with us

Mobile Legends

Bila Alucard pegang SCAR-L, perjalanan Fredo dari ML sehingga jadi jaguh Asia Tenggara PUBG Mobile

Published

on

Perjalanan Fredo dari Mobile Legends ke PUBG Mobile.

NOTHING lasts forever, we can change the future.

Bagi mereka yang bermain Mobile Legends : Bang Bang (Mobile Legends), pasti akan terbayangkan hero fighter Alucard apabila kedengaran ayat itu.

Ayat ini mungkin boleh diterjemahkan sebagai, ‘Tiada yang kekal selamanya, kita boleh mengubah masa hadapan bersama.’

Mungkin ayat itu juga boleh menggambarkan mengenai situasi pemain profesional Ahmad Fuad Razali (Fredo) yang memilih untuk menukar perjalanan karier e-sukannya dari Mobile Legends ke PUBG Mobile.

Fredo berkecimpung dalam arena Mobile Legends sebagai pemain profesional selama tiga tahun, bersama rakan-rakannya di Team Saiyan, Air Asia Saiyan dan Shopee Bosskurr.

Dia menyertai Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MY/SG) sebanyak tiga kali dan Piala Asia Tenggara (MSC) sebanyak dua kali.

Namun apa yang menyebabkan Fredo memilih untuk melepaskan pedang
Demon Hunter dan menggantikannya dengan senjata SCAR-L?

Ini cerita dari Fredo, eksklusif bersama WTM Today.

Cinta pandang pertama PUBG Mobile

Sebelum berjinak dalam PUBG Mobile, Fredo mengakui dia mengalami rasa kebosanan untuk bermain Mobile Legends pada setiap hari dalam penstriman langsungnya di Facebook.

“Saya mahu mencari permainan video lain untuk penstriman saya, sama ada Rules of Survival (ROS) atau PUBG Mobile. Jadi saya memilih PUBG Mobile.

“Sejar dari itu, saya rasa sangat seronok bermain PUBG Mobile.

“Setiap hari, saya rasa seperti mahu mempelajari bermain PUBG Mobile. Contohnya belajar mengawal recoil dan menghafal peta,” kata Fredo.

Dalam keseronokan itu, Fredo juga memasang hasrat untuk bermain secara kompetitif dalam mana-mana kejohanan.

Foto – Aji

Selepas MPL Musim Kedua tamat, Fredo mendapat satu pesanan ringkas dari rakan, Fahmi Wahid (Aji) yang mengajaknya untuk bermain dalam kejohanan PUBG Mobile.

“Ketika itu, kami sedang cuti MPL (off season) dan hanya ada satu kejohanan Mobile Legends iaitu Festival Todak 2019.

“Aji tanya sama ada saya mahu bermain dalam Kejohanan PUBG Mobile Kebangsaan (PMNC) kerana salah seorang pemainnya sibuk.

“Saya cakap boleh sebab saya memang teringin nak bermain dalam kejohanan PUBG Mobile. Kami mengakhiri PMNC dengan berada di tempat keenam,” kata Fredo.

BACA: Caprice mahu Fredo

Selepas menyertai PMNC itu, Fredo berehat seketika dari menyertai kejohanan kompetitif PUBG Mobile dan kembali bermain Mobile Legends dalam MPL Musim Ketiga bersama Shopee Bosskurr.

Selesai sahaja MPL Musim Ketiga, Fredo membuat keputusan dan tekad untuk memberi tumpuan kepada PUBG Mobile.

BACA: Fredo berehat dari MLBB, fokus lebih kepada PUBG Mobile

“Pada mulanya, saya ada menubuhkan pasukan tersendiri yang dinamakan Belacan Gaming untuk menyertai latihan dan pertandingan-pertandingan kecil di Malaysia.

“Kami meraih beberapa keputusan yang baik sebagai satu pasukan yang baru, namun ia tidak cukup untuk saya,”katanya.

Jumper ‘risik’ Fredo sertai Yoodo Gank

Pada Disember 2019, Yoodo Gank mendedahkan barisan pemain utamanya yang akan menyertai Peacekeeper Elite International Championship 2019 di Xi’an, China.

Pemain-pemain itu adalah Aiman Mohd (Man Parang), Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid (Draxx), Muhamad Izzrudin Hashim (Jumper) dan Fredo.

Barisan pemain itu terus digelar sebagai ‘Team 2020’ dalam kalangan peminat.

Fredo berkata, penglibatannya bersama Yoodo Gank adalah bermula dengan jemputan dari Jumper.

“Pada satu hari, Jumper bertanya kepada saya sama ada mahu bermain denganya dalam Yoodo Gank

“Saya terima dan mula menyertai latihan bersama Yoodo Gank.

“Dalam sesi latihan, kami memang memberikan prestasi yang sangat baik sebagai satu pasukan. Pada detik itu, saya percaya pasukan ini memang boleh pergi jauh,” tambah Fuad.

BACA: Fredo tak ‘blur’, banyak idea – Jumper

Jelas Fuad, dia sangat menghargai ahli-ahli pasukannya dalam Yoodo Gank itu.

“Saya berterima kasih kepada Jumper kerana membawa saya masuk ke dalam pasukan ini dan saya menghargai Man Parang dan Draxx yang mempercayai saya.

“Ini merupakan memori indah untuk saya” katanya.

Perjalanan e-sukan Fredo sebenarnya baru sahaja bermula apabila dia memilih untuk mengubah dan mengatur masa hadapannya sendiri, kerana tiada apa yang kekal selamanya.

Dia juga percaya, setiap apa yang berlaku tidak akan terjadi tanpa kuasaNya.

Tidak sampai setahun Fredo bersama Yoodo Gank, dia bersama rakan-rakan sepasukanya dinobatkan sebagai Pasukan PUBG Mobile Nombor 1 di Asia Tenggara.

Kini, memilih untuk terus menulis sejarahnya sendiri Fredo sedang melakukan persiapan untuk mendominasi dunia, menerusi Liga Dunia PUBG Mobile 2020.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved