Connect with us

Mobile Legends

MPL: MyA yang ‘MIA’, apa punca?

Meski baru memasuki minggu kedua MPL, MyA gagal mengutip sebarang mata atau memenangi mana-mana perlawanan.

Published

on

JIKA dibuka laman web rasmi Liga Profesional Mobile Legends (MPL) dan melihat kepada kedudukan terkini setiap pasukan, jelas menunjukkan Mysterious Assassin (MyA) kini berada di tangga paling corot sekali.

Meski baru memasuki minggu kedua MPL, MyA gagal mengutip sebarang mata atau memenangi mana-mana perlawanan.

Pasukan yang pernah mendapat tempat ketiga pada musim pertama MPL itu tewas kepada pasukan Singapura EVOS Esports 0-2, Resurgence 0-2 dan pasukan tanah air yang sedang meningkat naik ICON, 0-2.

Timbul persoalan apakah yang menjadi punca kepada prestasi MyA pada peringkat ini yang dilihat menjadi satu kerisauan jika ia berterusan sehingga tamat musim liga ini.

Pengurusnya, Mohd Zulshahrin Zulkifli (King Zyzz) tidak menyembunyikan apa-apa dihubungi WTM Today hari ini untuk melihat kepada isu ini.

“Sebenarnya memang ada masalah sedikit.

“Muhamad Azim M.Suhaimi (Flint) memilih untuk menjadi pemain pengganti apabila dia terpaksa memberi tumpuan kepada stream (penstriman langsung). Susah baginya untuk melakukan latihan dan kami tiada pilihan lain.

“Mereka juga tiada masa yang mencukupi untuk melakukan latihan. Stream sahaja memerlukan 3 jam dalam satu hari,” katanya.

King Zyzz berkata keadaan itu memaksa MyA untuk melakukan latihan bersama bekas pemain KDA terbaik musim pertama MPL, Muhd Hilmi Abd Halim (Sh4dow).

“Sh4dow pun lama tidak main,” katanya.

MyA sebelum ini layak ke pusingan liga MPL selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Selain Sh4dow dan Flint, MyA turut terdiri daripada Fakhri Fathurrahman (fabbg), Farid Fakhrullah (Kucing Gebu) dan Zaidi Asli (Lmao).

MPL musim ketiga kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul melebih RM400,000 dan disertai enam pasukan Malaysia dan empat pasukan Singapura.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved