Mobile Legends
Pabz sah sertai Homebois

KUALA LUMPUR – Selepas dilamar lebih lima pasukan, akhirnya Pabz memilih untuk bersama pasukan Homebois bagi saingan Liga Profesional Mobile Legends Malaysia Musim Ke-12 (MPL MY S12) 2023.
Penyertaan Pabz nama sebenarnya Khairul Azman ke pasukan Homebois untuk MPL Malaysia Musim Ke-12 disahkan oleh pengasas organisasi itu, Nureddy Nursal (Daddyhood) kepada WTM Today baru-baru ini.
Jelas Daddyhood, Pabz akan menyertai staf jurulatih bersama Saiful Aujang (pembantu jurulatih) dan penganalisis baharu yang dikenali sebagai Anchaa dari Indonesia.
Pada Mei lalu, Pabz berjaya membantu skuad Harimau Malaya meraih pingat perak di Sukan SEA Phnom Penh Kemboja 2023, selepas diberi kepercayaan untuk menjadi ketua jurulatih pasukan negara.
Dia mula menyertai arena profesional Land of Dawn sejak MPL MY S9 2022.
Pada ketika itu, Pabz berkhidmat sebagai jurulatih untuk pasukan Orange Esports dan berjaya membantu pasukan itu meraih tempat kedua MPL dan mengunci slot ke Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) 2022.
Pada musim berikutnya, Pabz kembali menjadi jurulatih untuk Team Haq dan sekali lagi berjaya mara ke Grand Final dan muncul sebagai juara MPL MY S10 apabila menewaskan Todak 4-2.
Dalam masa setahun, Pabz berjaya membawa pasukannya ke gelanggang antarabangsa sebanyak tiga kali apabila Team Haq dipilih sebagai wakil Malaysia ke M4 2022, MSC 2022 dan ONE Esports MPL Invitational 2022.