Connect with us

Mobile Legends

MPL: Jongor paruh Todak semakin tajam, tusuk Shopee Bosskurr 0-2

Published

on

Todak yang sebelum ini pernah menjuarai Kejohanan Geek Fam (MGC), Kejohanan MLBB Diamond Challenge Series Musim Ketiga, dan Supacomic Fiesta bermain dengan sangat kemas pada minggu pertama MPL. - Foto mysg.mpl.mobilelegends.com

BELUM pernah tumpul jongor paruh pasukan profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Todak yang dilihat masih mampu mengekalkan momentum kemenangan sehingga hari ini.

Todak yang sebelum ini pernah menjuarai Kejohanan Geek Fam (MGC), Kejohanan MLBB Diamond Challenge Series Musim Ketiga, dan Supacomic Fiesta bermain dengan sangat kemas pada minggu pertama Liga Profesional (MPL) Malaysia dan Singapura baru-baru ini.

Mereka menewaskan pasukan Singapura Louvre 2-1 pada hari pertama minggu pertama MPL.

Pada hari kedua, kira-kira 46,000 menonton perlawanan pusingan pertama antara Todak dan Shopee Bosskurr.

Todak dilihat mengekalkan serangan agresif sejak awal perlawanan dan sangat bijak mengambil kesempatan ke atas kelemahan yang dilakukan pihak lawan.

Kerjasama dan persefahaman antara pasukan juga dilihat semakin kemas. Antara buktinya boleh dilihat pada perlawanannya antara Shopee Bosskurr, hari kedua MPL Musim Keempat.

Dalam pusingan ini Todak menggunakan hero Grock (Eone), X.borg (Xray), Harith (Moon), Minsitthar (Nenas) dan Guinevere.

Manakala, Shopee Bosskurr menggunakan Esmeralda (Penjahat), Kaja (Gripex), Gusion (Soloz), Chou (Logan) dan Thamuz (Rush).

Pada minit kedua pusingan itu, Shopee Bosskurr mula ke arah bahagian turtle, tidak pasti sama ada mahu mengumpan atau mahu menambah mata emas.

Bagaimana pun misi tersebut dihidu Todak. Todak dilihat cuba merampas turtle. Penjahat yang berada di laluan bawah itu segera ke bahagian turtle.

Namun sebenarnya itu bukan objektif utama Todak. Ia seolah-olah umpan dari mereka untuk memulakan perang (team fight).

Meski first blood menjadi milik Boskurr apabila Penjahat mematikan Eone, namun dalam situasi ini Gripex, Rush dan Penjahat terkorban.

Soloz berjaya melarikan diri.

Kini memang giliran Todak untuk mengambil turtle dan logan cuba bersedia dari belakang apabila Soloz dan Gripex dalam cubaan untuk mencuri. Turtle bagaimana pun berjaya diambil Moon.

“Break The Limits” Soloz nampaknya tersasar apabila kemaraannya dimatikan Nenas. Soloz terkandas di ruang turtle.

Corak permainan Todak memang agresif sejak awal. Jika kita sedang memandu kereta, boleh dikatakan Todak memang mengekalkan Gear 5 sehingga minit keempat dan 49 saat. 

Nenas, Eone, Moon memusnahkan menara pertama di bahagian laluan atas, memaksa Rush untuk mengundur tidak mampu mempertahankannya seorang diri.

Penjahat cuba mengambil menara di bahagian bawah namun Xray dilihat terpaku dan tidak melakukan apa-apa serangan balas untuk mempertahankan menara Todak itu.

Selang beberapa saat, satu panggilan rehat seketika (pause) diminta pada minit ke 4 dan 53 saat.

Selepas berehat seketika selama 1 minit dan 25 saat, perlawanan kembali bersambung. Penjahat berjaya memusnahkan menara Todak dan Logan dilihat cuba melenyapkan Xray.

Mungkin tersalah percaturan flicker apabila Logan mengejar sehingga ke menara tier 2 dan Xray terus menggunakan kesempatan itu untuk mematikan Logan.

Di bahagian tengah, Moon bersama yang lain memusnahkan menara pada minit kelima dan 8 saat.

Pada minit kelima dan 46 saat, menara bawah dijatuhkan Nenas, Xray dan Ciku. Dalam keadaan ini, jelas kelihatan betapa berkeyakinannya Todak dalam memenangi setiap perang yang dipilihnya di Land of Dawn ini.

Namun satu lagi perang tercetus selepas itu apabila Todak cuba mengejar penjahat, namun Ciku menjadi mangsa pertama.

Kemudian Bosskurr seolah-olah mahu membalas dendam dengan mengejar Nenas dengan ketibaan Soloz.

Namun ia mengambil masa yang agak lama untuk melenyapkan Xray sehingga Nenas, dan Xray sempat membunuh Logan.

Soloz dan Penjahat mengejar Nenas untuk membunuhnya.

Misi berjaya tapi tidak berbaloi apabila Moon dan Eone menunggu dan membunuh mereka kedua-duanya sekali gus.

Pada minit ketujuh dan 45 saat, Todak berjaya mendapatkan turtle yang seterusnya, oleh Ciku dan Moon sambil dilindungi Nenas dan Eone yang berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghalang Shopee Bosskurr daripada mendapatkannya.

Shopee Bosskurr seperti seolah-olah tidak mampu bangkit meski mempunyai barisan hero yang dilihat berpotensi untuk mematikan kemaraan Todak.

Pada minit kesembilan dan 12 saat perbezaan kutipan mata emas kedua-dua pasukan adalah sebanyak 10,000.

Ketika ini juga menara Shopee Bosskurr hanya tinggal di bahagian akhir manakala hanya satu menara Todak ditumbangkan.

Todak seterusnya cuba mendapatkan lord menerusi Ciku dan Moon, sambil diawasi Eone, Ctray dan Nenas dari jauh, memastikan setiap pemain Shopee Bosskurr tidak mendekati dan mematikan misi Ciku dan Moon itu.

Lord berjaya dilenyapkan dan Todak tidak memilih untuk menunggu lord untuk hidup dari pengkalan apabila mereka terus bergegas ke laluan tengah, dan membunuh mana-mana pemain Shopee Bosskur yang mahu menghentikan mereka.

Esmeralda Penjahat dilihat tidak menjadi dalam pusingan ini kerana serangan Todak yang terlalu kuat dan begitu teratur.

Nenas berjaya menikam dan menariknya ke belakang dan Pejahat dibunuh secara beramai-ramai.

Lord sudah berada di barisan terakhir laluan atas dan 11 minit dan 40 saat adalah masa yang diperlukan untuk Todak menewaskan Shopee Bosskurr dalam pusingan itu.

Berdasarkan pusingan ini memang boleh dilihat kenapa Todak begitu berkeyakinan. Mereka cukup bijak untuk mengira percaturan, memilih perang yang berbaloi dan menghindarkan setiap umpan atau pertarungan yang tidak berbaloi.

Kepercayaan terhadap keupayaan ahli-ahli lain juga terpancar dalam pusingan ini terutama siapa yang patut melakukan serangan dahulu dan siapa yang patut bersedia dalam serangan balas.

“Apa yg terjadi semua dengan izin Allah. Kita cuma berusaha buat sehabis baik,” kata Todak secara ringkas ketika dihubungi What’s The Meta.

Todak kini berada di kedudukan ketiga ranking MPL musim keempat ketika ini selepas menang 2 perlawanan.

Pada minggu hadapan, Todak akan berdepan dengan EVOS Esports SG pada hari Sabtu, jam 8.30 malam.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved