Mobile Legends
MPL: Belum main lagi Orange Louvre dah kalah 0-2 kerana masalah visa
BELUM sempat arena Liga Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MYSG) Musim Keenam dibuka, Orange Louvre Esports terpaksa berputih mata apabila tidak dapat beraksi pada minggu pertama perlawanan kerana masalah visa.
Menurut pihak penganjur MPL MYSG, Orange Louvre Esports gagal untuk menyerahkan visa kerja pemain import dan jurulatih sebelum 23 Ogos sekaligus melanggar peraturan rasmi liga perkara 3.2.3.2.
Situasi itu juga menyebabkan Orange Louvre Esports tidak dapat beraksi menentang pasukan EVOS SG yang dijadualkan akan berlangsung pada petang Ahad nanti.

“Berikutan kegagalan menyerahkan visa kerja pemain import dan jurulatih sebelum 23 Ogos, Orange Louvre Esports tidak akan dapat bermain di Minggu 1 yang dijadualkan pada 30 Ogos.
“Perkara ini juga mengakibatkan mereka akan kalah 0-2 secara automatik terhadap EVOS SG,” kata penganjur MPL MYSG dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam kenyataan yang sama turut menjelaskan mengenai peraturan rasmi liga itu: 3.2.3.2 Kebenaran untuk bekerja di negara atau wilayah pertandingan (Cth. Malaysia). Pemain, Jurulatih dan Pengurus Pasukan yang bukan warganegara atau dari wilayah tempat pertandingan MPL MYSG S6 diadakan harus mempunyai visa kerja (perincian khusus ditentukan oleh undang-undang tempatan).
Berdasarkan keputusan itu, pihak penganjur MPL MYSG turut membuat keputusan untuk memberikan tarikh akhir yang dilanjutkan kepada Orange Louvre Esports hingga 9 September ini untuk menyelesaikan situasi visa mereka dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
Orange Louvre Esports mendaftarkan seorang jurulatih dan dua pemain dari import Indonesia iaitu Alvin Tisna (Lexuzzz), Kristian Wira Pranata (Jiji) dan Andhika Sulesmana (Nothingtosay) dalam MPL MYSG kali ini.
Sementara itu, pihak penganjur juga berkata selepas memperolehi visa kerja yang diluluskan, Orange Louvre Esports akan dibenarkan bertanding di MPL satu minggu setelah mendapat pengesahan dari Operasi Liga MPL.
MPL MYSG Musim Keenam bakal membuka tirai esok dengan perlawanan pasukan Red Reborn dan pasukan Geek Fam menjadi pembuka tirai minggu pertama musim keenam pada kali ini.
MPL MYSG Musim Keenam bakal menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RMRM414,000.
