Connect with us

Mobile Legends

MPL: Baru nak makan ikan goreng, Red Reborn dah kena langgar dengan Todak

Published

on

KUALA LUMPUR – Penyandang tempat ketiga kejuaraan dunia M1, Todak berjaya memintas pasukan kuda hitam Red Reborn dalam ranking terkini Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura (MPL MYSG) pada semalam.

Pemain Todak Muhammad Danial Mohamad Faud (Ciku) menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kebanggaan buat dirinya bersama rakan-rakan sepasukan apabila tidak menjangkakan Todak akan berada di tangga pertama pada minggu ketiga liga.

“Saya berasa bangga kerana ia satu permulaan yang bagus.

“Kami tidak menjangkakan pada minggu ketiga liga ini kami meraih tempat pertama. Jadi kami sangat gembira,” kata Ciku kepada hos MPL, Radzi Rahman Ibrahim (Ikuto) dalam satu temu bual selepas memenangai perlawanan 2-1 menentang Red Reborn.

Dalam temu bual tersebut, Ciku turut mengulas secara ringkas mengenai pertembungan dengan Red Reborn.

Jelas Ciku, antara sebab kejayaan Todak adalah kerana pengalaman bermain pada lewat permainan dan ramalan pemilihan hero pihak lawan.

“Pada pusingan pertama, Todak dan Red Reborn dilihat takut antara satu sama lain. Jadi kami memilih untuk bermain pada lewat permainan kerana kami lebih berpengalaman dengan corak permainan begitu.

“Pusingan kedua, saya tahu saya dapat ‘coklat’ apabila menggunakan Bruno, terutama dalam kejohanan dan kejuaraan dunia M1 yang lalu.

“Pada pusingan ketiga, kami memilih Minsitthar kerana kami tahu mereka akan hero yang boleh meluncur (slide) seperti Hayabusa. Kami tahu mereka akan ambil Hayabusa kerana tiada masalah untuk kami berlawan dengan hero yang boleh meluncur,”kata Ciku.

Selain itu, Ciku juga mengambil kesempatan dalam temu bual itu untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong perjalanan karier e-sukannya.

“Terima kasih kepada Todak kerana mempercayai kami. Terima kasih juga kepada keluarga dan peminat kerana menyokong saya dan pasukan,” tambah Ciku.

Todak ketika ini mendahului ranking pertama MPL dengan 6 mata agregat.

Pasukan itu akan bertemu dengan juara MPL Musim Ketiga Geek Fam pada jam 3 petang nanti.

MPL MYSG Musim Keenam akan berlangsung sehingga 25 Oktober nanti dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM415,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved