Connect with us

Mobile Legends

Moonton akan anjur Kejohanan Dunia di salah sebuah negara Asia Tenggara

Published

on

SUBANG JAYA – Pembangun e-sukan mudah alih popular Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Moonton, mengumumkan lokasi kejohanan peringkat dunia akan berlangsung di salah sebuah negara di Asia Tenggara.

Pengurus Pemasaran Serantau Moonton, Nelson Woon berkata kejohanan itu akan melibatkan empat rantau besar iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Asia Tenggara.

“Memandangkan ini merupakan kejohanan dunia pertama kami, Moonton mahu lakukannya di Asia Tenggara dahulu,”katanya secara ringkas.

Nelson berkata demikian kepada WTM Today selepas tamat sesi bersama media sempena Pusingan Penentu Liga Profesional (MPL) Malaysia dan Singapura.

Beliau turut menjelaskan nama kejohanan itu akan dikenali sebagai ‘World Cup’ (Piala Dunia) buat masa ini sebelum nama rasmi akan diputuskan kelak.

Apabila ditanya bilakah Piala Dunia MLBB itu akan diadakan, sebelum temasya Sukan SEA ini jawapan Nelson: “Mungkin dalam sekitar itu.

“Kami tidak boleh dedahkan lagi tarikh kerana kami mungkin akan adakan sebelum atau selepas Sukan SEA.

“Namun kami beri jaminan Kejohanan Piala Dunia itu tidak bertindih dengan Sukan SEA.”

Sementara itu, Nelson berkata hadiah wang terkumpul, proses dan format untuk pemain-pemain bagi rantau itu melayakkan diri bagi menyertai kejohanan Piala Dunia tersebut, belum boleh didedahkan lagi dengan terperinci.

“Hadiah wang terkumpul MPL bernilai kira-kira RM414,000 dan Piala Asia Tenggara MLBB (MSC) RM490,000.

“Bagi Piala Dunia mungkin anda boleh anggar trend harga wang terkumpul dari situ, tapi kami tidak boleh dedahkan lagi,” tambahnya.

Nelson berkata maklumat lanjut akan diumumkan selepas kejohanan MSC yang akan berlangsung pada Jun nanti.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved