Mobile Legends
MOBAZANE DI ASIA: “Menarik untuk dilihat” – CEO RRQ

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) organisasi e-sukan Indonesia, RRQ Andrian Pauline (AP) menyifatkan kehadiran pemain rantau Amerika Utara (NA) akan memeriahkan lagi arena Mobile Legends di Asia Tenggara.
“Ia akan memberikan lebih ‘warna’ kepada arena Mobile Legends secara keseluruhan.
“Saya menyifatkan ia akan menjadi sangat menarik untuk menonton pemain NA untuk beraksi di Asia Tenggara,” katanya kepada WTM Today baru-baru ini.
Pada Jumaat, pemain Mobile Legends Amerika Syarikat yang sedang meningkat naik, Michael Cosgun (Mobazane) meluahkan hasrat untuk bermain e-sukan itu dengan lebih serius di Asia.
Menurut Mobazane yang kini bermain untuk pasukan Blood ThirstyKing (BTK), dia mahu menjadi pemain profesional sepenuh masa.
Sementara itu, Mobazane turut berkongsikan yang dia sudi untuk belajar bahasa tempatan jika diberi peluang untuk beraksi Asia Tenggara.
“Saya juga akan cuba untuk mempelajari bahasa tempatan,” kata Mobazane dalam satu catatan Insta Story yang berasingan pada Jumaat.
Mobazane dan BTK baru-baru ini muncul sebagai pasukan ketiga terbaik dunia, dalam kejohanan Mobile Legends, M3, 2021 di Singapura.
Pasukan itu menjadi satu-satunya pasukan di luar rantau Asia Tenggara yang berada dalam kelompok terbaik itu.