Mobile Legends
MEL21: Carry pemain MPL sampai dapat RM20K

KUALA LUMPUR – Meski bergabung dengan dua pemain profesional, ia tidak menghalang beberapa pemain dari pasukan Pulang Pinang untuk menunjukkan kehebatan tersendiri dalam Grand Final Mobile Legends Liga E-sukan Malaysia 2021 (MEL21).
Menurut pemain profesional, Ahmad Zaki Ibrahim (Zacus) rakan-rakan sepasukannya mempunyai bakat yang tersendiri dalam e-sukan itu.
“Muhammad Nabil Japri (Abey) memang berbakat sehingga mampu carry saya namun sayang belum ada lagi pasukan profesional yang mahu merekrut dia,” kata Zacus.
Zacus berkata demikian dalam satu temu bual bersama hos, Aiman Kamal (Lapahel) selepas Pulang Pinang menewaskan Terengganu 3-0 dalam grand final itu.

Foto: Esports Integrated
Sementara itu, satu lagi pemain profesional, Aimin Zairie Anuar (Min) menyifatkan rakan-rakan sepasukannya memberi satu komitmen yang baik sepanjang kejohanan MEL 21 berlangsung.
“Saya sebenarnya tidak menjangkakan yang kami akan menang kerana sudah lama tidak bermain bersama-sama.
“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana memberikan komitmen yang baik,” kata Min dalam temu bual yang sama.
Selain Zacus dan Min, pasukan Pulau Pinang juga disertai Muhammad Hakim Adanan, Zul Firdaus, Mohamed Aiman Solihin Mohamed Iqbal dan Muhammad Nabil Japri.
Menerusi kemenangan itu, pasukan Pulau Pinang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Grand Final Mobile Legends MEL21 disertai 16 pasukan yang terdiri daripada 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan.
Kejohanan itu memberi peluang kepada pemain-pemain e-sukan amatur tanah air untuk bertarung dengan pemain-pemain profesional.
Ia juga merupakan sebahagian daripada Pelan Rangka Tindakan Esukan Kebangsaan KBS dan melalui inisiatif Esports Integrated (ESI).