Mobile Legends
M3 MLBB: Sasa bantu pemain lebih komited, bukan sekadar have fun main game

SINGAPURA – Walaupun baru empat bulan menyertai skuad Mobile Legends tanah air, Team SMG, kehadiran pemain profesional Lu Khai Bean (Sasa) dilihat memberi impak yang besar, kata pengurus Benny Lai.
Jelas Benny, Sasa sentiasa mendorong rakan-rakannya untuk menjadi lebih profesional dan komited dalam kerjaya sebagai pemain profesional e-sukan.
“Sasa memang bawa satu perubahan besar dan ia adalah satu perubahan yang baik.
“Memang kita boleh have fun (berseronok) ketika bermain, tapi ada sebilangan pemain memerlukan dorongan untuk komited dalam arena profesional.
“Pengalaman Sasa ketika di Indonesia dan latihan daripada jurulatih James Chen sememangnya memberikan satu progres yang baik.
“Kemasukan mereka adalah penting kepada pemain Team SMG,” kata Benny.
Benny berkata demikian dalam satu sidang media secara atas talian di Singapura pada semalam.
Selepas kira-kira dua tahun bermain di luar negara bersama ONIC Esports, Sasa kembali ke Malaysia untuk beraksi dalam Liga Profesional Malaysia Musim Kelapan (MPL MY S8) 2021 bersama Team SMG pada Ogos lalu.
Sasa turut bertindak sebagai kapten Team SMG sejak menyertai pasukan itu.
Menerusi kepimpinannya, Sasa berjaya membawa kemenangan kepada pasukannya apabila muncul sebagai juara MPL MY S8 dan dipilih sebagai pemain terbaik.
Ketika di Indonesia, Sasa pernah menjuarai MPL Indonesia Musim Ketiga dan Piala Asia Tenggara (MSC) 2019 di Manila, Filipina.
Sasa dan Team SMG kini berada di Singapura untuk melakukan persiapan menjelang kejohanan dunia Mobile Legends 2021, M3.
Team SMG akan mula bermain di M3 pada 9 Disember nanti untuk peringkat kumpulan D.
Selain Team SMG, kumpulan D turut disertai gergasi Indonesia, RRQ Hoshi, GX Squad (Timur Tengah) dan RSG SG (Singapura).
M3 melibatkan persaingan antara 16 pasukan Mobile Legends terbaik dunia dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM2.4 juta (AS$800,000) secara keseluruhan.
Ia akan bermula 6 Disember sehingga 19 Disember nanti di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Singapura.
Kejohanan itu turut akan disiarkan secara langsung di seluruh platform media sosial Mobile Legends.