Connect with us

Mobile Legends

M2: Todak tewaskan EVOS SG lagi, mara ke pusingan seterusnya

Published

on

KUALA LUMPUR – Selepas menunjukkan satu perlawanan yang penuh berdisiplin, skuad Mobile Legends tanah air, Todak berjaya mara ke peringkat pusingan kalah mati Kejuaraan Dunia (M2) yang seterusnya selepas menewaskan EVOS SG 2-0.

Dalam pusingan lower bracket itu, Todak bermain dengan penuh meyakinkan dan tidak membenarkan musuh ketatnya itu, mengheret ke pusingan ketiga untuk mencapai kemenangan itu.

Todak memerlukan kira-kira 14 minit pada pusingan pertama dan 16 minit 30 saat untuk membenam pasukan Singapura itu.

Menurut pemain Todak, Mohamad Aiman Idris (Xray), tiada yang mudah menentang pasukan EVOS SG.

“Kami tidak boleh cuai dan perlu bermain dengan berdisiplin kerana EVOS SG seperti sudah menjangkakan corak permainan kami,” kata Xray dalam satu sidang media atas talian hari ini.

Xray juga berkata pasukannya tidak rasa bersalah untuk menghantar pulang pasukan tuan rumah itu.

“Ini adalah arena kompetitif, memang adat jika ada kalah atau menang. Kami membawa nama Malaysia, jadi perlu berjuang sehabis baik tidak kira siapa lawan kami sama ada Singapura, Indonesia atau sebagainya,” kata Xray.

Meski EVOS SG telah mengeluarkan hero-hero utama pemain Todak seperti Atlas dan Claude, Todak dilihat tenang dan semakin matang dalam mengatur strategi perlawanan itu.

Menurut Xray, mereka juga telah menjangkakan rancangan EVOS SG yang akan mengeluarkan hero-hero utama Todak.

“Kami dah jangka EVOS SG akan ban. Jadi, kami cuba keluar zon biasa corak permainan kami yang sebelum ini dan bawa benda baharu yang tak pernah dilakukan orang lain,” tambah Xray dalam sidang media yang sama.

Sementara itu, rakan sepasukan Xray, Muhammad Danial Mohamad Faud (Ciku) yang menggunakan hero marksman bagi kedua-dua pusingan muncul sebagai pemain terbaik (MVP).

Selain Xray dan Ciku, pasukan itu disertai Zikry Shamsuddin (Moon) Muhammad Rizwan Abdullah (Eone) Wan Usman Wan Imran (4Meyz) dan Zairul Hazim Zailani (Stoo).

Menerusi kemenangan itu, Todak dijangka akan bertembung dengan pasukan yang tewas di pusingan ketiga Upper Bracket, sama ada Burmese Ghouls atau Bren Esports pada esok.

M2 telah membuka tirai pada 18 Januari lalu dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM1.2juta (AS$300,000).

Pada M1 yang lalu, Todak muncul sebagai pasukan ketiga terbaik dunia.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved