Connect with us

Mobile Legends

Eone masih bersama Todak selepas bersara – Ikuto

Published

on

Foto: Moonton

KUALA LUMPUR – Pemain profesional Mobile Legends tanah air Muhammad Rizwan Abdullah (Eone), sah akan terus bersama organisasi e-sukan tanah air, Todak selepas bersara dari arena kompetitif.

Pengurus Pembangunan E-Sukan Todak, Radzi Rahman Ibrahim (Ikuto) berkata, pihaknya mahu menyediakan laluan kerjaya yang lebih terjamin bagi pemain-pemainnya yang memilih untuk bersara.

“Todak ingin mengekalkan satu ekosistem e-sukan, contohnya bermula sebagai pemain, kemudian sebagai jurulatih atau pengurus.

“Kami sudah memilih laluan kerjaya terbaik untuk Eone,tetapi perkara itu akan kami maklumkan pada masa akan datang,” kata Ikuto.

Ikuto berkata demikian ketika ditanya WTM Today dalam satu sidang media semalam mengenai status Eone yang akan bersara dalam Kejuaraan Dunia Mobile Legends 2020 (M2).

Jelas Ikuto, Eone telah menyuarakan hasratnya untuk bersara sejak tamat Liga Profesional Malaysia dan Singapura (MPLMYSG) Musim Keenam yang lalu.

Namun pihak penganjur M2, Moonton tidak membenarkan sebarang pertukaran barisan utama pemain dari MPL.

Pemilihan untuk bersara itu adalah kerana Eone mahu memberikan ruang kepada bakat-bakat baharu bertanding di peringkat profesional.

Eone telah bersama pasukan Mobile Legends Todak sejak tahun 2018. Antara pencapaian bersama Eone dan Todak adalah:

  • Tempat Ketiga Kejohanan Dunia Mobile Legends (M1) 2019
  • Juara Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura Musim Keenam 2020
  • Naib Juara Grand Final ONE Esports Mobile Legends Invitational (Malaysia) 2020
  • Naib Juara Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura Musim Keempat 2019
  • Juara Kejohanan Mobile Legends Geek 2019
  • Juara Kejohanan SupaComic Allstar 2019
  • Tempat Ketiga Kejohanan Cyberview 2019
  • Juara Mobile Legends Diamond Challenge Season 3 2019
  • Juara Kejohanan Gempak Starz 2018
  • Juara Kejohanan Games Spark 2018
  • Naib Juara Kejohanan LEO 2.0 2018

Eone dan Todak kini menyertai M2 di Singapura dan bakal bertembung dengan musuh ketat EVOS SG di peringkat lower bracket pada jam 2 petang nanti.

M2 telah membuka tirai pada 18 Januari lalu dan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM1.2juta (AS$300,000).

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved