Connect with us

Mobile Legends

#M1World: “ Sorry kak sebab tak menang ” – Evilx Axis Esports

Published

on

Axis Esports ketika mengatur langkah keluar dari gelanggang utama M1. Mereka kini berada di kedudukan ke-8 terbaik dunia dalam arena Mobile Legends. - Foto YouTube / Mobile Legends

SUASANA di Axiata Arena ketika itu mulai suram. 

Laungan dan sorakan juga semakin tenggalam dengan perasaan hiba.

Sedih melihat, sedih lagi yang menanggungnya. 

Kenyataan pahit perlu ditelan bagi mereka yang berada di stadium itu apabila terpaksa menyaksikan sendiri salah satu pasukan kebanggaan Malaysia, Axis Bosskurr atau Axis Esports terkandas pada hari pertama Kejuaraan Dunia Mobile Legends M1.

2-0 kemenangan yang dikutip negara matahari terbit, 10s Gaming Plus, satu-satunya pasukan luar dari negara Asia Tenggara yang berjaya mara ke Acara Utama M1.

Selepas bersalam dengan pemain-pemain Jepun, Evilx, terus memandang setiap yang ada di Axiata Arena, mendekatkan tanganya, memberi tanda memohon maaf.

Jelas terpancar rasa kekecewaannya, kerana mungkin tidak boleh lakukan yang terbaik untuk negara.

Evilx terus mengatur langkah keluar dari gelanggang utama Axiata Arena, sambil mengusap kepala dan memandang lantai seolah-olah, rasa hibanya tak akan pernah habis.

Visual tontonan penstriman langsung terus ke arah bahagian panelis, mengulas bagaimanakah 10s Gaming Plus, mengatur strategi mereka menumpaskan Axis Esports.

Puncanya apabila penggunaan hero marksman Karrie oleh Pappa yang dilihat sudah menguasai Land of Dawn sejak awal lagi.

Pappa juga muncul sebagai pemain terbaik pada pusingan itu dengan mencatatkan rekod KDA 10 mata bunuh dengan 3 mata sokongan serta tiada kematian dicatatkan.

Pengulasan dilanjutkan beberapa minit sehinggalah bahagian produksi mengalihkan visual bahagian panelis kepada hos kejuaraan dunia itu, Fiera Fendi yang menemu bual kapten 10s Gaming Plus, Obuyan, mengenai perlawanan itu.

“Kami memang banyak mengkaji corak permainan Axis dan mengatur strategi dengan data yang kami ada. 

“Kami mengkaji sedalam-dalamnya untuk merancang apakah skil yang sesuai untuk dilakukan untuk menang,” kata Obuyan.

Obuyan juga berkata dia ingin dunia lihat kekuatan pasukan Jepun itu kerana e-sukan Mobile Legends tidak popular di negaranya.

“Kami berharap satu dunia dapat lihat yang Jepun mempunyai kekuatannya tersendiri,” kata Obuyan.

Memang seharusnya 10s Gaming Plus melakukan kajian mendalam mengenai pihak lawan, terutama Axis Esports.

Axis Esports yang dilihat sebagai pasukan nombor 2 dalam arena kompetitf Mobile Legends Malaysia pernah merangkul kejuaraan pada Liga Profesional MPL Malaysia dan Singapura pada musim kedua dengan menggunakan nama Saiyan Reborn.

Sedikit suram mutu persembahan pada musim ketiga, Axis Esports kembali gah pada musim keempat dengan meraih tempat keempat secara keseluruhan dan seterusnya mendapat slot ke M1.

Tamat hari pertama Acara Utama M1, setiap krew dan pemain mula melangkah ke bahagian belakang pentas untuk sesi taklimat.

Terserempak dengan pemain-pemain Axis Esports, penulis bertentang mata dengan Evilx.

Evilx masih menundukkan kepala dan memohon maaf: “Maaf kak, sebab tak menang.”

Sayu terus rasanya apabila itu yang diluahkan Evilx. Dia tahu, sebagai tuan rumah, dia mahu menggunakan platform ini untuk membanggakan ibu bapa dan negaranya.

Dia tahu, ini adalah masanya untuk membuktikan kekuatan Malaysia dalam arena maya.

“Tidak mengapa Evilx, mungkin tiada rezeki,” balas penulis.

Sebenarnya, perkataan maaf itu yang tidak perlu diungkapkan oleh Evilx kerana berada di pentas dunia ini sudah tentunya telah membuat penyokong dan peminat tanah air mendabik dada dengan dirinya dan Axis Esports.

Sekurang-kurangnya Axis Esports berada di kedudukan 8 terbaik dunia dan membawa pulang hadiah wang tunai kira-kira RM24,000.

Evilx sebenarnya perlu tahu, setiap dari kalangan peminat memahami kehadirannya dan Axis Esports bukan untuk mengutip pengalaman tapi untuk memenangi kejuaraan.

Meski tidak mampu mara ke pusingan yang seterusnya tapi dalam masa yang sama, setiap usaha yang telah diberikan perlu dihargai.

Mungkin selepas ini perlu dilakukan satu post mortem bersama-sama keluarga Bosskurr apakah langkah-langkah yang perlu diambil selepas ini.

Sudah tentunya dengan pengambilan jurulatih baharu oleh Axis untuk pasukan Mobile Legends itu tidak membuahkan hasil. 

Mungkin sebenarnya telah dicatatkan dalam takdir Tuhan bagi Evilx dan Axis Esports untuk merasai sendiri betapa pahitnya kekalahan ini supaya ia dapat memberi motivasi kepada mereka untuk tidak merasainya buat kali kedua.

Kerana yang pastinya setiap pemain, mahu merasai kemenangan kejohanan, terutama di peringkat dunia.

Jangan berputus asa, sentiasa yakin kepada diri, kembali dongak dan mara ke arah kejayaan dalam arena kompetitif e-sukan.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved