Connect with us

Mobile Legends

#M1World: Misi membalas dendam gagal, Todak berputih mata

Published

on

Todak terpaksa akur dengan kekalahan di hadapan penyokong sendiri kepada pasukan negara jiran, Rex Regum Qeon 1-3. - Foto What's The Meta / Eqbal Eddy Yusof

KUALA LUMPUR – Misi pasukan Todak untuk membalas dendam ternyata gagal apabila mereka terpaksa akur tewas di perlawanan akhir kelompok bawahan kepada Rex Regum Qeon dengan mata 1-3.

Walaupun sokongan yang padu dari rakyat Malaysia di setiap penjuru Axiata Arena telah diberikan namun itu tidak cukup bagi mereka untuk memenangi perlawanan tersebut.

Rex Regum Qeon akan sekali lagi membuat perhitungan semula bersama pasukan senegara, EVOS Legends di pentas akhir utama kejohanan dunia Mobile Legends M1 dan ini merupakan perlawanan akhir kedua bagi mereka selepas kejohanan Liga Professional (MPL) Indonesia bulan lalu.

Bermain dalam format best of 5, Lychee dimasukkan menggantikan Xray dalam perlawanan pertama namun pertukaran itu tidak memberikan impak yang positif kepada pasukan Todak kerana mereka tumpas dalam perlawanan tersebut.

Xray kembali ke barisan utama pemain dengan mengeluarkan Lychee tetapi mereka masih gagal menghentikan kemaraan pasukan negara jiran tersebut untuk memenangi perlawanan yang kedua.

Ketinggalan 2-0 tidak mematahkan semangat pasukan Todak untuk bangkit kembali dan hasilnya mereka berjaya mencuri mata kemenangan pertama untuk mereka selepas berjaya menewaskan Rex Regum Qeon dalam perlawanan ketiga.

Harapan penyokong pasukan negara kembali cerah dan dalam perlawanan ke-4 pasukan Todak telah membuat satu draf yang sangat menarik dengan memberikan Eone menggunakan Rafaela yang sebelum ini jarang digunakannya dalam kejohanan besar seperti ini.

Pertaruhan yang cukup berani itu memakan diri mereka apabila Rex Regum Qeon dengan mudah membenam pasukan Todak dalam perlawanan tersebut untuk mara dengan mata akhir 3-1.

Selepas ini Rex Regum Qeon bakal membuat perhitungan semula bersama seteru utama senegara, EVOS Legends di pentas akhir utama yang dijadualkan pada jam 3 petang ini.

Juara kejohanan dunia Mobile Legends M1 bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai kira-kira RM330,000 (AS$80,000) serta trofi iringan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2023 All Rights Reserved