Connect with us

Mobile Legends

Lumpuh sebelah tangan tak padam hasrat Daniel Onehanded Gaming untuk jadi pemain pro

Published

on

Daniel Onehanded Gaming berhasrat untuk menjadi pemain pro satu hari nanti - Foto Twitter / Muhammad Danish

APRIL 2018 merupakan antara detik hitam bagi Muhammad Danish Danial Hairi apabila dia terlibat dalam satu kemalangan.

Muhammad Danish baru berusia 16 tahun ketika itu.

Selepas sedar dari kemalangan itu, dia terlantar di unit rawatan rapi (ICU) selama seminggu.

“Saya membonceng motor bersama rakan saya. Motornya dihimpit kereta dan selepas itu kejadian menjadi kabur.

“Bila saya kembali sedar, saya agar murung kerana doktor memaklumkan tangan saya sudah lumpuh,” kata Muhammad Danish kepada WTM Today.

Selepas kejadian itu, Muhammad Danish berkata dia diberi cuti sakit untuk berehat selama hampir setahun.

Foto Twitter : Muhammad Danish

Menurut Muhammad Danish, selepas menjalani pembedahan saraf, doktor memaklumkan tangannya akan kembali sembuh dalam masa kira-kira 10 tahun.

“Saya rasa mahu berputus asa dengan tangan saya ketika itu,” katanya.

Tidak pasti apa yang patut dilakukannya untuk mengisi masa, dia membuat keputusan untuk berlatih bermain Mobile Legends dengan bersungguh-sungguh.

Jelas Muhammad Danish, dia cemburu melihat kawan-kawannya berseronok bermain permainan video.

Jadi pada detik itu, dia mengambil keputusan untuk bermain juga, walaupun tangan kirinya lumpuh.

“Saya fikir, kenapa tidak saya berlatih dengan satu tangan? Ketika itu saya cemburu melihat kawan-kawan saya berseronok main game, tapi saya hanya sekadar melihat.

“Selepas tamat persekolahan, saya tidak tahu bagaimana dengan masa hadapan saya. Keputusan SPM saya pun cukup-cukup makan sebab tidak ke sekolah ketika tingkatan 4.

“Oleh sebab itu, saya terfikir kenapa tidak saya cuba dalam bidang gaming kerana itu sahaja bakat yang saya ada,” tambahnya.

Walaupun sering dimarahi ibu bapanya, Danial berhasrat untuk mengukir masa hadapannya sendiri dengan menjana pendapatan menerusi e-sukan.

Dia memasang impian supaya dapat menjadi pemain profesional pada satu hari nanti.

Meski ketika ini hanya boleh bermain menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, Muhammad Danish pernah mencapai ranking Mythic 625.

“Walaupun ibu bapa saya tidak bersetuju, saya mahu menjadi pemain profesional.

“Saya berharap dapat merangkul gelaran Supreme dan menjadi seperti idola saya iaitu LJ (Pemain RRQ Hoshi) Soloz, Daddy, Syno, Penjahat dan Zynn,” katanya.

Jelas Muhammad Danish lagi, dia akan mencuba menyertai beberapa kejohanan Mobile Legends akan datang untuk menyempurnakan hasratnya menjadi pemain profesional.

Bagi anda yang mahu memberi sokongan kepada Muhammad Danish, boleh ke laman Facebook Daniel Onehanded Gaming.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved