PUBG Mobile
Liquid masuk Bigetron RA, tapi tidak bermain SEA,PMGC
PEMAIN profesional PUBG Mobile Indonesia, Leander Deusfiel (Liquid) secara rasminya menyertai pasukan juara dunia Bigetron Red Aliens menjelang Grand Final Liga PUBG Mobile Asia Tenggara (SEA Final) Musim Kedua mulai semalam.
Dalam kenyataan yang dimuatnaik di laman Instagram rasmi, Bigetron Esports mengumumkan bahawa Liquid telah melanjutkan kontraknya selama dua tahun bersama pasukan PUBG Mobile itu.
Walau bagaimanapun Liquid menyatakan bahawa dia tidak dapat menyertai PMPL SEA Final yang diadakan pada 23 Oktober nanti dan juga PUBG Mobile Global Championship (PMGC).
“Saya tidak bermain di SEA Final dan PMGC nanti kerana peraturan ini sudah ditetapkan oleh pihak penganjur.
“Hal ini disebabkan penyertaan dan pendaftaran saya dalam PMPL Indonesia yang lalu adalah bersama ION Esports, sekaligus tertakluk kepada peraturan barisan pemain yang telah ditetapkan (roster lock).
“Namun demikian, saya berharap untuk membuat kemunculan saya pada musim seterusnya,” kata Liquid dalam satu temubual yang dimuat naik ke laman Instagram.
Liquid turut melahirkan rasa kebanggaannya apabila dapat menyertai barisan pemain juara dunia dan berazam untuk memperbaiki kesilapan dari segi corak permainan untuk menandingi kualiti permainan Bigetron RA.
Liquid sebelum ini dilihat membuat kemunculan di perlawanan persahabatan Scrim Saja-Saja SEA dalam barisan pemain Bigetron RA pada 9 Oktober lalu.
Menggantikan terminator dunia Made Bagas Pramudita (Zuxxy), Bigetron RA tamat di tempat kelapan dengan 40 mata keseluruhan pada Jumaat lalu.
Liquid, yang sebelum ini di bawah ION Esports, berjaya meraih tempat kedua dalam Liga Profesional PUBG Mobile Indonesia.
Bekas pemain NFT Esports itu merupakan seorang pemain PUBG Mobile berpengalaman dan pernah menyertai kejohanan-kejohanan PUBG Mobile antarabangsa pada tahun 2018 sewaktu menyertai pasukan India terkenal, Soul.
Bigetron RA baru-baru ini turut memperkenalkan jurulatih mereka yang terbaharu, Steven Valerian Danilo (Sinyo), bekas jurulatih ION Esports untuk mengukuhkan lagi mutu persembahan pasukan secara keseluruhan.
Saksikan pasukan juara dunia Bigetron RA yang dibarisi Made Bagus Prabaswara (Luxxy), Muhhamad Albi (Ryzen), Nizar Lugatio (Microboy) dan Made Bagas Pramudita (Zuxxy) di PMPL SEA Finals pada 23 Oktober nanti.
Bigetron RA akan turut membuat kemunculan terus ke PMGC setelah mendapat jemputan atas kemenangan Liga Dunia PUBG Moble (PMWL) blok Timur Julai lalu.