Connect with us

Mobile Legends

Kontroversi Grand Final MPL: Tiada sebarang rekod spell Flicker dipilih Todak pada perlawanan kelima

Published

on

TIADA sebarang rekod spell pertarungan Flicker dipilih oleh pemain Todak ketika perlawanan kelima Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura Musim Keempat.

Jawatankuasa Pasukan Operasi MPL berkata selepas mengkaji video ulangan Draft Pick dan rekod permainan daripada Mesin Pemerhatian (Observer), pihaknya mendapati tiada sebarang rekod pemain Todak memilih spell Flicker.

“Salah seorang pemain pasukan Todak telah meminta untuk rehat sejenak (pause) selepas perlawanan dimulakan kerana menurutnya, dia telah memilih Flicker sewaktu Draft Pick dan apabila permainan dimulakan, spell pertarungan yang dipilihnya menjadi Sprint.

“Selepas marsyal perlawanan diberitahu mengenai masalah itu, Pengurus Moonton Esports telah mengkaji video ulangan dan rekod permainan dan didapati tiada sebarang rekod pemain memilih Flicker,”kata jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam peraturan MPL 9.4.3 menyatakan mengenai “Protokol Ulang Semula” iaitu jika sesuatu permainan mengalami pepijat (bug) kritikal yang secara signifikan mempengaruhi statistik permainan atau mekanik corak permainan atau keadaan persekitaran luaran yang tidak boleh dielak satu perlawan mungkin boleh diminta untuk dimainkan semula.

Namun Jawatankuasa Pasukan Operasi MPL itu berkata dalam situasi itu, ia tidak diklasifikasikan sebagai masalah in-game bug.

Menurut Jawatankuasa Pasukan Operasi MPL, sewaktu pemilihan hero sepanjang Draft Pick sehingga permainan bermula spell pertarungan yang dipilih pemain Todak itu ialah Sprint.

“Oleh itu, permintaan untuk bermain semula perlawanan tidak diterima.

“Selepas berbincang dengan kedua-dua pasukan lawan, perlawanan tetap diteruskan,” tambah Jawatankuasa Pasukan Operasi MPL.

Sebelum ini, pemain kompetitif Todak, Mohd Aiman Idris (Xray) mendakwa terdapat pepijat (bug) dalam perlawanan kelima MPL itu.

Pada perlawanan yang menentang pasukan Singapura, EVOS SG itu, Xray berkata rakan sepasukannya Shahril Anuar Abdul Rashid (Nenas) memilih spell Flicker untuk hero Minotaur.

Namun Xray berkata ketika paparan loading page berlaku, spell Flicker itu menjadi Sprint.

Xray juga mendakwa EVOS SG tidak menghormati mereka kerana dakwanya, EVOS SG enggan melakukan remake (bermain semula) dalam perlawanan itu.

Sementara itu, pengurus Todak Mohd Syazlan Mohd Rosdi bagaimana pun dalam satu kenyataan berkata Todak memohon maaf berikutan video yang dimuat naik pemainnya sehari selepas perlawanan Grand Final liga tersebut.

Jelasnya emosi pemainnya pada ketika itu menguasai pertimbangan dan merencatkan mesej yang ingin mereka sampaikan.

Grand Final MPL Malaysia dan Singapura pada musim keempat menyaksikan Todak tewas 2-3 kepada EVOS SG.

Perlawanan itu berlangsung pada hujung minggu lalu, di KL Live, Kuala Lumpur. 

MPL kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM414,000.

© WTM MEDIA AND CONSULTANCY 002996087-M What's The Meta 2020 All Rights Reserved